Apa Yang Anda Kagumi Dengan Rumah Tuhan
- Komuniti Digital 05

- 11 minutes ago
- 1 min read

“…Akan tiba masanya apabila semua yang kamu lihat ini akan dirobohkan. Tidak ada satu batu pun akan tinggal tersusun pada tempatnya!”...” Lukas 21:6
Ketika beberapa pengikut Yesus dengan penuh kekaguman sedang bercakap-cakap tentang Rumah Tuhan—bagaimana Rumah Tuhan itu dihiasi dengan batu-batu yang indah serta pelbagai barang yang dipersembahkan kepada Tuhan—mereka sebenarnya sedang berusaha menarik perhatian Yesus terhadap keindahan bangunan tersebut.
Bahagian luar Rumah Tuhan dihias dengan batu yang sangat indah, manakala bahagian dalamnya diperkaya dengan barang-barang yang bernilai dan dipersembahkan kepada Tuhan. Mereka menyangka bahawa Yesus juga akan terpesona seperti mereka terhadap keindahan fizikal Rumah Tuhan.
Namun sebaliknya, Yesus berkata kepada mereka tentang kehancuran yang bakal terjadi. Yesus berkata, “…akan tiba masanya apabila semua yang kamu lihat ini akan dirobohkan. Tidak ada satu batu pun akan tinggal tersusun pada tempatnya…”
Yesus tidak terpesona dengan keindahan fizikal Rumah Tuhan, kerana bagi-Nya yang lebih penting ialah keadaan rohani umat Tuhan di dalamnya.
Bagaimana pula dengan diri kita hari ini?
Apa yang kita kagumi tentang Rumah Tuhan?
Apakah kita lebih kagum dengan keindahan bangunan, kemewahan peralatan, atau dekorasi?
Atau adakah kita kagum dengan kehadiran Roh Tuhan, ketetapan Allah yang dijalankan, pengajaran Firman, doa, dan persekutuan yang membangun jemaah?
Apakah yang sebenarnya anda katakan tentang Rumah Tuhan anda hari ini?
Doa: Tuhan, terima kasih atas Rumah-Mu yang Engkau berikan kepada aku, sehingga aku dapat bersekutu dengan Engkau setiap waktu dan menikmati hadirat-Mu. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.
Pr Patrick Taie




Comments