top of page

Apakah Yang Kamu Percakapkan?

  • 35 minutes ago
  • 2 min read

Yesus berkata kepada mereka, “Apakah perkara-perkara yang sedang kamu bincangkan dalam perjalanan kamu ini?” Lukas 24:17 AVB

 

Pada hari itu juga dua orang antara murid Yesus sedang dalam perjalanan ke sebuah kampung yang bernama Emmaus, kira-kira sebelas kilometer jauhnya dari Yerusalem. Sambil kedua-duanya berjalan, mereka berbual-bual dan berbincang tentang segala yang terjadi. Ketika itulah, Yesus sendiri menghampiri mereka lalu berjalan bersama-sama dengan mereka. Walaupun mereka nampak Yesus, tetapi mereka tidak mengenal-Nya.

 

Oleh itu, Yesus bertanya kepada mereka, “Apakah perkara-perkara yang sedang kamu bincangkan dalam perjalanan kamu ini?” Sewaktu mereka mendengar pertanyaan Yesus, mereka pun berhenti di situ dengan berwajah murung. Seorang daripada mereka yang bernama Kleopas bertanya kepada Yesus, “Engkaukah satu-satunya orang di Yerusalem yang belum mengetahui peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam beberapa hari ini?”

 

Sekali lagi Yesus bertanya kepada mereka, “Apakah yang telah berlaku?”. Setelah itu, mereka memberitahu Yesus segala apa yang berlaku dan apa yang diberitahukan oleh para perempuan selepas mereka pergi ke makam Yesus. Mereka juga memberitahukan harapan mereka terhadap Yesus.

 

Apabila mereka menghampiri kampung yang dituju mereka itu, Yesus kelihatan seolah-olah Dia hendak meneruskan perjalanan. Akan tetapi, kedua-dua orang itu menjemput-Nya untuk bermalam dengan mereka kerana hari hampir senja dan mulai gelap. Dia pun masuk ke rumah dan bermalam dengan mereka. Ketika Dia duduk untuk makan bersama mereka, Dia mengambil roti dan mengucap syukur. Dia membahagikan roti itu lalu memberikannya kepada mereka. Pada ketika itu juga mata mereka dicelikkan dan mereka pun mengenali Dia. Lalu Dia lenyap daripada pandangan mereka.

 

Jika kita ada persoalan tertentu, pasti Allah akan datang menghampiri kita untuk menjawab segala persoalan kita. Oleh itu, janganlah kita khuatir tentang apa yang tidak kita ketahui atau fahami. Pada waktu yang ditetapkan Allah, Dia akan datang menghampiri kita lalu menjawab segala persoalan yang ada di dalam hati kita. Berserahlah kepada Allah untuk pengertian terhadap semua kemusykilan atau keraguan kita. 

  

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, berilah aku kepekaan kepada jalan-Mu. Dalam segala persoalan, ajarlah aku untuk sentiasa datang kepada-Mu untuk mendapatkan jawapan agar dalam perlumbaan hidup yang ditentukan bagiku, Engkaulah yang dimuliakan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page