top of page

Belajar Berasa Cukup

  • 2 hours ago
  • 2 min read

Aku tidak bercakap disebabkan kekurangan, kerana dalam keadaan apa pun aku telah belajar berasa cukup.  Filipi 4:11 AVB

 

Rasul Paulus berkata kepada saudara saudari dalam Kristus di Filipi bahawa dia sudah belajar bagaimana hidup dengan berasa cukup dan berpuas hati terhadap apa sahaja yang ada pada dirinya. Walaupun dia dikurung di dalam penjara, namun dia tetap bersukacita dalam keadaan apa pun, baik dia memiliki banyak mahupun sedikit.

 

Dia memberitahukan segala keperluan dirinya kepada mereka bukanlah kerana dia sangat memerlukan sesuatu daripada mereka atau dia kekurangan. Sebaliknya, dia mengemukakan semuanya kepada mereka kerana dia mahu menjelaskan kepada mereka apa itu kekurangan, dan apa itu kelimpahan.

 

Menurut Paulus, dia telah belajar berasa cukup. Pengakuan ini menunjukkan bahawa Paulus pun perlu mengambil masa untuk belajar membina sifat terpuji ini. Sesungguhnya, sifat berasa cukup bukanlah sifat semula jadi dan automatik bagi kebanyakan orang. Ia merupakan satu kemahiran rohani yang harus dipelajari, dibina dan diamalkan.

 

Berasa cukup dan berpuas hati tidak berlaku dalam sekelip mata atau bergantung pada persekitaran kita. Paulus belajar berasa cukup setelah mengalami baik kelimpahan mahupun kesusahan yang teruk, seperti pemenjaraan, kelaparan, bahaya, dan penganiayaan. Dalam keadaan apa pun, dia dapat menanggung segala perkara kerana dia sudah hidup bersatu dengan Yesus. Damai sejahtera Paulus bersumberkan dalaman, bukan luaran. Dia menulis surat ini ketika dia berada di dalam penjara, namun dia tenang sahaja. Sukacita Paulus berasaskan hubungannya yang akrab dengan Allah. Paulus bergantung sepenuhnya kepada Allah dan bukan sesiapa pun untuk memenuhi segala keperluan hidup dan pelayanannya.

 

Bagaimanakah dengan diri kita? Marilah kita meneladani Paulus untuk berasa cukup dan berpuas hati dalam semua keadaan. Kasih kurnia Tuhan Yesus cukup bagi kita kerana kekuatan-Nya menjadi sempurna dalam kelemahan kita. Kuasa Kristus menaungi kita. Apabila kita lemah, ketika itulah kita kuat.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk sentiasa bersyukur kepada-Mu dengan apa yang aku miliki. Tolonglah aku supaya tidak jatuh ke dalam perangkap ketamakan tetapi sentiasa berasa cukup dan berpuas hati terhadap apa jua keadaanku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page