top of page

Berdiri Teguh Dalam Tuhan 

  • 5 hours ago
  • 2 min read

Oleh itu, saudara-saudaraku yang dikasihi dan dirindui, yang menjadi kebahagiaanku dan mahkotaku, berdirilah dengan teguh dalam Tuhan, wahai sekalian yang kusayangi!  Filipi 4:1 AVB

 

Rasul Paulus sangat mengasihi saudara saudari dalam Kristus di Filipi. Dia meluahkan rasa rindunya kepada mereka dengan menyatakan bahawa dia sangat ingin bertemu dengan mereka. Sebab mereka merupakan hasil kerja pelayanan dirinya. Hatinya berasa sangat sukacita dan sangat bangga terhadap mereka.

 

Paulus bukan sahaja sangat mengasihi dan merindui saudara saudari dalam Kristus di Filipi, bahkan dia menganggap mereka sebagai kebahagiaan dan mahkotanya. Bagi Paulus, siapakah yang menjadi harapan, kesukaan, atau mahkota yang akan dimegahkannya kelak di hadapan Tuhan Yesus ketika Dia datang nanti? Siapa lagi kalau bukan jemaah di Filipi yang menjadi kemuliaan dan kegembiraannya. Selama ini Paulus amat mensyukuri persahabatan dan pengorbanan mereka demi Injil. Jadi, dia dapat bersukacita pada hari Kristus kerana hidup dan usahanya tidak sia-sia.

 

Oleh yang demikian, Paulus menggesa mereka untuk tetap berdiri teguh dalam Kristus sepanjang hidup walaupun mereka mengharungi berbagai-bagai kesulitan dalam hidup. Mereka sudah hidup bersatu dengan Tuhan Yesus. Jadi, mereka harus taat setia mengikut Tuhan Yesus seperti yang telah diajarkan olehnya kepada mereka selama ini. Paulus mendorong mereka supaya tidak sekali-kali tergoyah oleh cabaran, penganiayaan, perselisihan atau ajaran sesat.

 

Walaupun Paulus secara jasmani tidak bersama-sama mereka tetapi kebenaran yang telah diajarkan olehnya kepada mereka dapat mendorong mereka untuk tetap berdiri teguh dalam Tuhan Yesus. Demikian juga dengan diri kita. Sebenarnya, berdiri teguh dalam Tuhan Yesus bukan sekadar usaha dan azam individu, tetapi melibatkan kasih, sokongan dan komitmen seluruh jemaah. Sebagai warga syurga di bumi, biarlah kita sehati berpegang teguh pada iman kita dengan semangat yang tidak mudah luntur.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana kebenaran-Mu yang ada dalam firman-Mu akan menolong aku untuk tetap kuat dan teguh dalam hidup rohani. Bimbinglah aku untuk mengikut jalan-Mu dan mentaati firman-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page