Berdoa Agar Dapat Mengetahui Perkara-Perkara Yang Baik
- 6 hours ago
- 2 min read

... supaya kamu dapat mengetahui perkara-perkara yang baik, sentiasa tulus ikhlas dan tidak bersalah hingga hari Kristus, ... Filipi 1:10 AVB
Rasul Paulus bukan sahaja berdoa agar kasih saudara saudari dalam Kristus bertambah kepada Allah dan sesama mereka, tetapi Paulus juga berdoa supaya mereka dapat mengetahui perkara-perkara yang baik, sentiasa tulus ikhlas dan tidak bersalah hingga hari Kristus. Dengan kata lain, jemaah di Filipi dapat memilih apa yang terbaik sehingga pada Hari Kristus datang kembali, mereka bebas daripada segala kepura-puraan, celaan dan tuduhan.
Hal ini juga bermaksud bahawa saudara saudari dalam Kristus akan dapat mengetahui jalan mana yang terbaik bagi diri mereka. Dengan demikian, hidup mereka menjadi sungguh-sungguh sempurna dan bersih daripada segala kesalahan pada hari kedatangan Kristus kembali kerana mereka taat setia menjalani hidup yang mengikut jalan serta kehendak Allah.
Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Apakah kita berdoa kepada Allah supaya kita dapat mengetahui dan memilih apa yang terbaik, sehingga pada Hari Kristus datang kembali kita akan bebas daripada segala munafik, celaan dan tuduhan?
Begitu juga kita hendaklah berdoa terus-menerus untuk saudara saudari dalam Kristus yang bersama dengan kita pada hari ini, agar mereka akan dapat berfokuskan perkara-perkara yang ada nilai rohani dan bukan pada kepentingan diri atau keseronokan duniawi. Sesungguhnya, doakan mereka menjalani hidup yang tulus ikhlas dan tidak bersalah hingga hari Kristus demi kemuliaan Allah.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, segala pujian dan syukur kepada-Mu. Ajarlah aku untuk terus berdoa untuk saudara saudari dalam Kristus yang bersama dengan aku agar mereka memiliki hikmah untuk mengetahui dan memilih apa yang terbaik bagi diri mereka demi memuliakan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments