top of page

Berdoa Dengan Sukacita

  • 15 hours ago
  • 1 min read

... dan aku sentiasa mendoakanmu dengan sukacita dalam setiap permohonanku ...  Filipi 1:4 AVB

 

Rasul Paulus berkata kepada jemaah di Filipi bahawa setiap kali dia berdoa untuk mereka, sukacita memenuhi hatinya. Paulus berdoa dengan senang hati untuk jemaah Filipi kerana iman mereka, kesetiaan mereka, sokongan mereka dan pelayanan mereka membawa penghiburan yang besar kepadanya. Paulus langsung tidak menganggap perbuatan mendoakan mereka itu satu tugas yang membebankan. Sebaliknya, sudah menjadi tabiatnya untuk tetap mendoakan mereka dengan penuh keprihatinan dan kesyukuran.

 

Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini sewaktu kita berdoa untuk seseorang? Apakah hati kita dipenuhi dengan sukacita dan kesyukuran seperti Paulus sewaktu dia berdoa untuk jemaah di Filipi atau sebaliknya? Adakah kita melihat perbuatan mendoakan orang lain itu satu tugas yang membebankan atau meletihkan?

 

Demikian juga dengan orang yang berdoa untuk kita. Apakah hati mereka dipenuhi dengan sukacita dan kesyukuran? Apakah yang menyebabkan hati mereka dipenuhi dengan sukacita sewaktu mereka mendoakan kita?

 

Marilah kita meneguhkan iman kita dalam Tuhan Yesus dengan membuktikan ketaatan dan kesetiaan kita dalam pelayanan kita. Mereka yang berdoa untuk diri kita akan dipenuhi dengan sukacita kerana diri kita memancarkan ciri-ciri kehidupan yang berlandaskan Injil dan memuliakan nama Tuhan Yesus. Biarlah kita sentiasa mendoakan satu sama lain dengan penuh sukacita dan kesyukuran.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana aku boleh datang ke hadirat-Mu untuk mendoakan saudara saudari dalam Kristus dengan penuh kesyukuran dan sukacita. Walaupun mereka melalui pelbagai cabaran dalam hidup, namun mereka tetap setia melayani-Mu. Berilah mereka kekuatan dan kematangan rohani. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page