Berdoa Sentiasa, Jangan Putus Asa
- Komuniti Digital 05

- 3 hours ago
- 1 min read

'Kemudian Yesus menceritakan ibarat ini untuk mengajar mereka bahawa mereka harus sentiasa berdoa dan tidak putus asa. ' (Lukas 18:1) AVB
Yesus menceritakan sebuah perumpamaan kepada pengikut-pengikut-Nya untuk mengajar mereka supaya sentiasa berdoa dan tidak berputus asa dalam permohonan mereka. Perumpamaan itu berkisahkan tentang seorang hakim di sebuah kota yang tidak takut akan Allah dan tidak peduli terhadap sesiapa pun.
Dalam kota itu juga terdapat seorang balu yang sering datang kepada hakim tersebut, memohon supaya perkaranya dibela. Walaupun dia telah lama meminta pertolongan daripada hakim itu untuk menegakkan keadilan terhadap lawannya, namun hakim tersebut enggan menolongnya.
Oleh sebab balu itu terus-menerus datang memohon pertolongan, pada suatu hari hakim itu berkata dalam hatinya bahawa jika dia tidak menolong balu itu, wanita itu pasti akan terus datang dan menyusahkannya. Maka dia memutuskan dalam hatinya bahawa adalah lebih baik dia menolong balu itu daripada terus diganggu olehnya.
Akhirnya, hakim itu pun menolong balu tersebut menyelesaikan masalahnya. Kisah ini mengajar kita tentang pentingnya berdoa dengan tekun tanpa jemu-jemu. Sekiranya kita terus berdoa tanpa berhenti, meskipun doa kita tidak dijawab oleh Tuhan dengan segera, namun apabila kita berterusan memohon belas kasihan Tuhan, pada waktu yang ditetapkan-Nya, Dia pasti akan menjawab doa kita.
Oleh itu, janganlah berhenti berdoa, tetapi teruslah berdoa tanpa berasa jemu, kerana Tuhan sentiasa mendengar setiap doa kita dan akan menjawabnya pada waktu-Nya.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, berikanlah aku roh yang tekun berdoa tanpa berasa jemu, walaupun aku belum menerima jawapan atas apa yang aku minta. Namun, biarlah hatiku tetap berdoa kepada-Mu, ya Tuhan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments