Berdoa untuk Mereka yang Membenci Kita
- 1 hour ago
- 2 min read

Yesus berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka” Lukas 23:34 AVB
Ada dua orang lain, iaitu kedua-duanya penjahat, yang akan disalib bersama Tuhan Yesus. Setelah mereka sampai di tempat yang bernama, “Tengkorak,” mereka pun menyalib Yesus dan kedua-dua orang penjahat itu, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya.
Semasa Yesus di atas kayu salib, para aska mengambil pakaian-Nya lalu mereka membahagi-bahagikan pakaian-Nya diantara mereka sendiri dengan membuang undi. Orang ramai yang berdiri di situ memandang sahaja sementara para pemimpin masyarakat Yahudi mengejek-Nya, “Orang lain diselamatkan-Nya; biarlah Dia menyelamatkan diri-Nya sekarang jika Dia sesungguhnya Kristus yang dipilih oleh Allah. Kalau benar Dia Raja Israel, turunlah dari kayu salib itu sekarang, baru kami percaya kepada-Nya. Dia percayakan Allah. Biar Allah menyelamatkan-Nya sekarang, kalau Allah mahu mengakui-Nya; kerana Dia berkata, ‘Aku Anak Allah.’ ”
Selain para pemimpin orang Yahudi yang mengejek Yesus, askar-askar juga memperolok-olokkan Yesus. Mereka menghampiri-Nya dan membawa air anggur masam kepada-Nya lalu berkata, “Jika Engkau Raja orang Yahudi, selamatkanlah diri-Mu.” Pada sebelah atas kayu salib Yesus tertulis kata-kata: “Inilah Raja orang Yahudi.”
Beginilah respons Tuhan Yesus, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka.” Yesus ternyata mengamalkan apa yang diajarkan-Nya, iaitu “Kasihilah musuhmu, berbuat baik kepada orang yang membenci kamu; berkatilah orang yang mengutuk kamu dan doakan orang yang menganiayai kamu. Bagi diri Yesus, kasih merupakan hal yang terutama sewaktu Dia menerima segala olokan, ejekan dan tuduhan terhadap diri-Nya. Kasih-Nya kepada semua orang melebihi semua kebencian. Itulah sebabnya Dia berdoa untuk mereka yang mencela dan menganiayai-Nya.
Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Marilah kita meneladani Tuhan Yesus untuk mendoakan mereka yang membenci, mengolok dan mengutuk kita, agar Allah akan mengampuni mereka. Mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan kerana mereka belum mengenal cahaya dunia dan masih berjalan dalam kegelapan.
Doa:
Ya Tuhan Yesus, ubahlah hatiku menjadi seperti hati-Mu, hati yang sentiasa mengampuni orang yang membenci dan mengejek aku. Jadikan diriku seperti diri-Mu yang sentiasa berdoa untuk orang lain yang berbuat salah terhadap diriku. Dalam nama-Mu yang maha kuasa aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments