Berhati-Hati Terhadap Pengaruh Yang Jahat
- Komuniti Digital 05

- 2 days ago
- 1 min read

“…Berhati-hatilah dengan guru Taurat. Mereka suka berjalan-jalan dengan memakai jubah panjang, dan suka dihormati orang di pasar. Mereka memilih tempat terbaik di dalam rumah ibadat dan di majlis jamuan....” Lukas 20:46
Sementara orang banyak masih mendengarkan pengajaran Yesus, Yesus memperingatkan para pengikut-Nya agar mereka sentiasa berhati-hati terhadap para ahli Taurat dan tidak mencontohi mereka.
Para ahli Taurat suka berjalan-jalan memakai jubah panjang untuk menunjukkan kemuliaan diri, dan mereka sangat suka dihormati orang di pasar. Mereka memilih tempat duduk terbaik di rumah ibadat dan tempat paling utama di majlis jamuan. Selain itu, mereka memperdaya para balu dan merampas rumah mereka, kemudian berpura-pura berdoa panjang-panjang untuk menunjukkan “kesalehan” mereka.
Mereka juga suka menonjolkan diri di tempat umum dengan pakaian yang cantik-cantik. Di pasar, mereka senang disapa dan dihormati oleh semua orang. Di rumah pertemuan atau pesta, mereka memilih kerusi paling depan untuk menonjolkan kedudukan.
Oleh sebab tabiat mereka yang penuh kepura-puraan, Yesus memberi amaran terbuka kepada para pengikut-Nya supaya berwaspada terhadap pengaruh para ahli Taurat. Yesus tidak mahu pengikut-Nya terikut-ikut dengan gaya hidup mereka yang hanya mementingkan penampilan luar tetapi hati mereka jahat dan penuh kepalsuan.
Yesus mahu pengikut-Nya mengenali cara hidup ahli Taurat supaya mereka tidak tertipu dan terseret dalam dosa yang sama. Dia mahu kita menilai hati, bukan penampilan luar seseorang yang kelihatan “rohani”.
Oleh itu marilah kita sentiasa berwaspada terhadap pengaruh orang yang berpura-pura kelihatan baik dan kudus, tetapi hatinya sebenarnya jauh daripada Tuhan.
Doa: Tuhan, ajarlah aku untuk berjalan akrab dengan-Mu. Berikanlah aku hati yang sungguh-sungguh berpegang erat pada kebenaran-Mu. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.
Pr Patrick Taie




Comments