Berhati-hati Terhadap Penyesat
- Komuniti Digital 05

- 1 day ago
- 1 min read

'Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: “Hal yang membuat orang melakukan dosa memang ada, tetapi malangnya bagi orang yang menyebabkan hal-hal itu berlaku. ' (Lukas 17:1) AVB
Yesus sedang mengajar para pengikut-Nya supaya sentiasa berhati-hati terhadap mereka yang berusaha menyesatkan orang yang lemah dalam Kristus, sama ada melalui perkataan mahupun perbuatan mereka. Tujuan mereka ialah untuk membuat orang yang lemah menjadi putus asa dalam melayani Kristus dan tidak lagi melaksanakan tanggungjawab mereka.
Oleh itu, Yesus mendorong para pengikut-Nya supaya berani menghadapi para penyesat yang berusaha melemahkan semangat orang yang sedang melayani Tuhan Yesus. Yesus mahu para pengikut-Nya mengambil tanggungjawab terhadap mereka yang terdedah kepada ajaran penyesat-penyesat ini.
Para pengikut Yesus tidak seharusnya membiarkan ajaran sesat ini terus memutarbelitkan kebenaran tentang Kristus sehingga menyesatkan ramai orang yang lemah iman. Akibatnya, mereka boleh jatuh ke dalam dosa atau kehilangan iman mereka kepada Tuhan.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab para pengikut Yesus untuk menghentikan mereka yang menyesatkan orang lain, agar mereka yang terdedah kepada ajaran sesat dapat dilindungi dan terus bertumbuh dalam iman mereka kepada Tuhan. Begitu juga bagi kita pada hari ini, kita mesti berhadapan dengan mereka yang mengganggu pemikiran orang yang lemah iman dengan mengajar kebenaran Firman Tuhan.
Maka, marilah kita memperlengkapkan diri dengan Firman Tuhan dan mengajar mereka yang lemah iman supaya mereka menjadi dewasa, kuat, dan teguh dalam iman mereka.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, inilah aku. Pakailah aku untuk mengajar dan membangun mereka yang lemah imannya, agar mereka menjadi dewasa, kuat dan teguh dalam iman, sehingga mereka tidak akan dipengaruhi oleh penyesat yang ada pada masa kini. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.
Pr Patrick Taie




Comments