Berhati-Hatilah Dengan Guru-Guru Palsu
- 6 hours ago
- 2 min read

Awas orang yang bersikap seperti anjing, awas orang yang berbuat jahat, awas tukang sunat yang palsu. Filipi 3:2 AVB
Rasul Paulus memperingatkan saudara saudari dalam Kristus di Filipi supaya mereka sentiasa berhati-hati terhadap guru-guru palsu, iaitu orang yang bersikap seperti anjing, orang yang berbuat jahat, dan tukang sunat yang palsu. Sebenarnya, mereka yang perlu diawasi ialah para guru agama Yahudi yang mewajibkan orang percaya yang bukan Yahudi untuk mengamalkan sunat dan adat istiadat orang Yahudi untuk diampuni serta diselamatkan.
Paulus menyamakan sikap dan tabiat mereka seperti anjing yang biasanya membawa maksud tersirat yang negatif. Anjing di sini merujuk kepada haiwan liar lagi ganas yang merayau-rayau di jalanan dan menyerang orang yang lalu. Paulus mengecam guru-guru agama Yahudi sebagai anjing yang merayau-merayau untuk menentang Injil yang benar. Orang yang berbuat jahat mempertikaikan kebenaran bahawa manusia diselamatkan dengan kasih kurnia Allah melalui iman. Sebaliknya, mereka menuntut ketaatan kepada hukum Taurat. Menurut tukang sunat yang palsu, adat sunat wajib untuk setiap lelaki. Sesungguhnya, ajaran mereka salah. Mereka itu penjahat yang hanya ingin mencacatkan tubuh orang percaya. Pendek kata, mereka meyahudikan segala perkara dalam amalan kepercayaan.
Guru-guru palsu ini sudah menyelusup ke dalam gereja lalu mengganggu kesejahteraan jemaah. Mereka melakukan segala ibadat mereka secara upacara sahaja dan bukanlah kerana mengenal Kristus secara peribadi. Hidup mereka dipenuhi dengan kejahatan. Lebih-lebih lagi, mereka itu sangat licik dan dapat menyesatkan jemaah dengan ajaran palsu mereka.
Bagaimanakah dengan diri kita? Marilah kita sentiasa berhati-hati terhadap guru-guru palsu yang ada pada hari ini dengan melengkapkan diri kita dengan kebenaran firman Allah. Ingatlah bahawa Tuhan Yesuslah jalan, kebenaran dan hidup. Roh Kudus yang menetap dalam kita akan membimbing kita ke arah segala kebenaran supaya kita tidak tersesat daripada iman dan jalan kebenaran.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Bimbinglah aku agar aku tidak tersesat dengan ajaran yang salah atau yang palsu, tetapi sentiasa berpegang teguh pada kebenaran firman-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments