top of page

Berikan Kesempatan untuk Bertaubat

ree

“Tukang kebun menjawab, ‘Tuan, biarkan pokok ini tumbuh selama setahun lagi. Aku akan mencangkul tanah di sekelilingnya dan membubuh baja.’ ” Lukas 13:8 AVB

 

Yesus menceritakan suatu ibarat kepada orang ramai yang datang kepada-Nya, “Seorang telah menanam pokok ara di kebun buah-buahannya. Dia datang mencari buahnya, tetapi tidak dijumpai.  Dia berkata kepada tukang kebun, ‘Tengoklah, sudah tiga tahun aku datang mencari buah daripada pokok ara ini, tetapi tidak juga didapati. Tebangkanlah pokok ini! Apa gunanya terus menghabiskan kesuburan tanah?’  Tukang kebun menjawab, ‘Tuan, biarkan pokok ini tumbuh setahun lagi. Aku akan mencangkul tanah di sekelilingnya dan membubuh baja.  Kalau pokok ini berbuah, baiklah! Kalau tidak, tuan boleh menebangnya.’ ”

 

Pendek kata, sekiranya pokok itu berbuah pada tahun hadapan, maka pokok itu tidak akan ditebang. Namun begitu, sekiranya pokok itu masih tidak berbuah selepas dibubuh baja, maka pokok itu akan ditebang.

 

Hal ini merujuk kepada orang Yahudi. Allah telah memilih mereka untuk menjadi bangsa pilihan-Nya, umat yang akrab dengan-Nya, dan bangsa yang mengenal serta melayani-Nya lebih daripada bangsa-bangsa lain. Allah mahu mereka membalas kebaikan-Nya dengan mematuhi semua perintah-Nya, taat setia kepada-Nya, menyembah dan memuliakan-Nya. Semuanya ini diperhitungkan sebagai buah daripada hidup mereka demi-Nya.

 

Malangnya, mereka mengecewakan Allah. Mereka bukan sahaja tidak mengendahkan perintah-Nya, tetapi juga mendatangkan celaan atas tingkah laku mereka yang durjana. Walau bagaimanapun, melalui perantaraan Kristus Allah menunjukkan kemurahan dan belas kasihan-Nya dengan memberi mereka masa yang lebih banyak untuk bertaubat. Para rasul-Nya diutus untuk menyampaikan kebenaran Injil supaya mereka akan bertaubat dan menerima pengampunan dosa. Seterusnya, mereka akan berbuah lebat dalam hidup demi-Nya.

 

Demikian juga kehendak Allah bagi diri kita hari ini. Dia amat sabar, berbelas kasihan dan murah hati sehingga mahu memberi kita masa untuk bertaubat dan berbuah…

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, terima kasih atas kesempatan  yang Engkau berikan kepadaku  agar aku bertaubat dan menghasilkan buah. Ajarlah aku untuk menghargai kesempatan yang Engkau berikan dengan sebaik-baiknya. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. 


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page