Berkat Mengakui Tuhan Yesus di Hadapan Umum
- Komuniti Digital 05

- Jul 29
- 1 min read

“Aku berkata kepadamu bahawa sesiapa yang mengakui Aku di hadapan manusia akan diakui oleh Anak Manusia di hadapan malaikat-malaikat Allah.” Lukas 12:8 AVB
Yesus berkata kepada murid-murid-Nya bahawa sekiranya mereka mengakui Dia sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka di hadapan umum, maka Dia juga akan mengakui mereka di hadapan malaikat-malaikat Allah. Demikian juga mereka yang menyangkal Dia sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka di hadapan umum juga akan disangkal di hadapan malaikat-malaikat Allah.
Betapa pentingnya pengakuan mereka secara terang-terang bahawa merekalah pengikut dan murid Tuhan Yesus. Sebab pengakuan mereka akan diri mereka di hadapan umum akan menyebabkan Tuhan sendiri mengakui mereka sesungguhnya milik-Nya.
Oleh itu, sebagai murid Tuhan Yesus yang sejati, mereka harus berani dan tidak malu untuk mengakui kepercayaan dan iman mereka kepada-Nya secara terbuka. Meskipun mereka mungkin mengalami penderitaan atau penganiayaan kerana mengikut Dia, namun mereka perlu yakin bahawa orang yang mengakui Dia sekarang akan diakui oleh-Nya pada hari penghakiman yang agung di hadapan malaikat-malaikat-Nya. Demikian juga mereka akan memperoleh penghiburan dan penghormatan yang kekal daripada-Nya.
Tegasnya, jangan kita malu akan identiti kita sebagai murid Tuhan Yesus di hadapan umum kerana pengakuan kita pada saat ini tentang siapa diri kita tanpa berselindung akan menyebabkan Tuhan mengakui diri kita kelak. Janganlah sekali-kali menyangkal Dia dalam hidup kita atau cuma menjadi pengikut rahsia.
Ingatlah bahawa kita diakui atau disangkal oleh Kristus Yesus pada hari penghakiman bergantung pada pengakuan atau penyangkalan kita terhadap diri-Nya pada hari ini. Siapakah diri anda di hadapan umum pada hari ini?
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk berkata benar tentang diriku tanpa malu. Engkau mahu aku berani dan jujur mengaku diriku sebagai murid-Mu yang sejati. Pakailah hidupku untuk memuliakan nama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments