Berkat Mengikut Perintah Yesus
- Komuniti Digital 03
- Mar 3
- 1 min read

Setelah selesai mengajar, Dia berkata kepada Simon, “Tolaklah ke air yang dalam dan tebarkan jalamu untuk menangkap ikan.” Lukas 5:4 AVB
Pada suatu hari semasa Yesus berdiri di tepi pantai Tasik Genesaret, ramai orang berasak-asak mengerumuni-Nya untuk mendengar firman Allah. Oleh itu, Yesus naik ke dalam salah sebuah perahu, iaitu perahu Simon dan memintanya untuk menolak perahu itu jauh sedikit dari pantai. Lalu Yesus duduk dan mengajar orang ramai dari perahu itu.
Setelah Yesus selesai mengajar, Dia berkata kepada Simon, “Tolaklah ke air yang dalam dan tebarkan jalamu untuk menangkap ikan.” Maka Simon menjawab, “Tuan, semalaman kami cuba sedaya upaya tetapi tidak dapat menangkap apa-apa pun! Tetapi, kerana kata-kata Engkau itu, maka aku akan menebarkan jala.”
Setelah mereka menebarkan jala, mereka berjaya menangkap ikan. Sewaktu mereka mengangkat naik jala mereka, didapati jala mereka sarat dengan ikan sehingga jala itu hampir terkoyak.
Jika kita taat mengikut perintah Tuhan Yesus, pastilah kita akan berhasil kerana segala-gala yang ada di dunia ini merupakan hasil ciptaan Tuhan sendiri dan tertakluk pada kuasa-Nya. Oleh itu, kita perlu mematuhi apa yang diperintahkan oleh Tuhan kepada kita.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon agar aku tetap taat kepada perintah-Mu. Tolonglah aku untuk sentiasa bergerak dalam kuasa Roh Kudus. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments