top of page

Berkomitmen, Walaupun Anda Tidak Berasa Berbuat Demikian


Kita semua pernah berasa sindrom "Hei, bagaimana dengan saya?" Kadangkala ia menyelinap pada kita ketika kita berasa bahawa keperluan emosi kita tidak dipenuhi - dan kita membencinya. Atau mungkin kita mempunyai pasangan yang sukar dicintai dan kita sudah bosan cuba memelihara keadaan hidup kita. Masa itulah tercetusnya sindrom "Hei, bagaimana dengan saya?" Bila ia tiba, dan kita berasa kasihan pada diri sendiri - atau hanya bosan mencuba - apa yang boleh kita lakukan?


Pilih untuk membuat keputusan yang bijak.


Apabila keadaan menjadi sukar, jangan bergantung pada perasaan atau emosi. Perasaan kita tidak akan membantu kita untuk membuat keputusan yang tepat; sebaliknya keputusan yang tepat akan menjadikan emosi kita yang baik - dan ganjarannya yang positif.


Berikut adalah beberapa cara untuk mengawal emosi dengan keazaman anda:


1) Buatlah keputusan untuk mengeluarkan perkataan "perceraian" dari kamus anda.


Suami saya, Bill dan saya telah memberi kaunseling kepada pasangan agar mereka kembali bahagia dari berbagai krisis: kehilangan anak, kehilangan rumah, semua jenis ketagihan, hubungan sulit, dan banyak kes "Saya sudah bosan mencuba".


Walaupun anda berasa ingin mengajukan perceraian tidak bermakna anda harus melakukannya! Apabila anda membuat keputusan untuk mengeluarkan perkataan 'perceraian' dari kamus kata anda, dapatlah anda mula membangun kembali keinginan anda untuk berkahwin dan keinginan anda untuk pasangan anda.


Sekiranya anda perlu memupuk motivasi, fikirkan tentang:

◦ Anak-anak anda.

◦ Masa yang sudah anda labur dalam hubungan ini.


Statistik menunjukkan bahawa pasangan yang sengsara sekarang, tetapi bertahan beberapa tahun kemudian, menilai perkahwinan dan hidup mereka sebagai lebih bahagia daripada mereka yang terus bertindak dan bercerai.


Hanya mulakan di mana anda boleh. Walaupun anda berasa tidak rela.


2) Buatlah keputusan untuk memilih sukacita.


Kadangkala hidup tidak adil. Kadangkala perkahwinan tidak adil. Ia adalah hubungan yang kekal tidak kira kaya atau miskin, kesakitan atau kesihatan, dan sama ada keadaan menjadi lebih baik atau lebih buruk. Jim dan Sally Conway, dalam buku mereka yang berjudul “Sifat Perkahwinan yang Berpanjangan” (Traits of a Lasting Marriage), meninjau pasangan-pasangan yang mempunyai hubungan berjangka panjang yang bahagia dan rahsia yang mereka dapati adalah bahawa pasangan tersebut telah memutuskan untuk berada dalam perkahwinan berjangka panjang yang bahagia!


Keputusan untuk memilih sukacita, untuk menjadi orang yang bahagia tanpa mengira keadaannya, adalah keputusan yang akan mewujudkan kebahagiaan. Sekiranya anda mencari kebahagiaan sebagai tujuan, anda tidak akan mencapainya, kerana anda tidak dapat mengawal keadaan dan anda tiada kawalan terhadap pasangan anda. Tetapi anda boleh mengawal diri dan emosi anda. Sekiranya anda memilih sukacita, tidak lama lagi anda dapati bahawa anda memilikinya.


Beberapa perkara untuk membantu anda memilih sukacita mungkin seperti berikut:


◦ Membuat senarai ciri terbaik pasangan anda, (mungkin hanya ada beberapa sahaja) dan kemudian memutuskan untuk memujinya setiap hari dengan membangkitkan salah satu ciri yang baik.


Melakukan perkara yang anda sukai yang sama sekali tidak berkaitan dengan hubungan anda: makan tengah hari dengan kawan, berjalan-jalan di pantai atau tepi tasik, menghabiskan masa sehari di spa. Kadang-kadang anda hanya memerlukan waktu rehat emosi untuk mengembalikan harapan dan kekuatan.


Putuskan untuk menjadi yang terbaik. Seorang wanita bertanya kepada saya sama ada dia harus tunduk pada suami yang tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami. Dia berkata, "Nampaknya tidak adil." Dia betul. Tidak adil. Walaupun begitu, kedua-dua pasangan tidak harus menunggu untuk melihat siapa yang akan mengambil inisiatif membaiki keadaan dan menjadi orang yang lebih baik. Salah seorang harus memilih untuk melayani yang satu lagi dalam cinta terlebih dahulu. Anda boleh bertegas bahawa anda betul, tetapi anda mungkin hanya akan berpegang teguh pada pendapat anda sahaja - dan bukan perkahwinan anda.


Hidup ini penuh dengan pilihan. Kebijaksanaan adalah pintu masuk menuju kebahagiaan. Kita perlu ingat perkara-perkara ini dan membuat keputusan yang bijak seumur hidup - walaupun kita tidak begitu rela.




Hak Cipta © 2006, Pam Farrel. Hak cipta terpelihara. Hak cipta antarabangsa terjamin. Digunakan dengan izin.

bottom of page