top of page

Untuk Apa Sebenarnya Mahu Berkahwin?

Kalau ada orang Kristian — yang mengaku benar-benar Kristian — mahu berkahwin di Mahkamah Anak Negeri semata-mata kerana lebih senang mengurus perceraian, itu sendiri sudah menunjukkan sesuatu yang tidak beres. Apabila fikiran untuk berkahwin bermula dari sudut takut cerai, mahu senang cerai, lebih mudah keluar dari perkahwinan, atau anggapan bahawa perkahwinan memang tidak ada jaminan bertahan, maka asas itu sudah rosak, negatif, dan berdosa.

Itu sama seperti membuat janji dengan prasangka buruk. Atau lebih teruk lagi, berjanji dengan niat tersembunyi untuk memungkiri janji tersebut.

Bayangkan seseorang berdiri di hadapan Tuhan ketika upacara perkahwinan — berikrar di hadapan Allah yang menginstitusikan perkahwinan, Allah yang mempersatukan lelaki dan perempuan — tetapi hatinya sudah menyediakan “laluan kecemasan” untuk keluar. Dengan fikiran yang sudah merancang kegagalan. Dengan hati yang mencari jalan paling mudah untuk berpisah. Bagaimana mungkin orang seperti ini mengharapkan berkat Tuhan atas perkahwinannya?

Bagaimana hati boleh tenang sepanjang kehidupan berumahtangga?

Waktu bersetubuh, fikiran sudah terarah kepada perceraian.

Waktu mengandung atau bersalin, dihantui ketakutan akan cerai.

Waktu berlaku konflik, yang dirancang bukan pendamaian, tetapi jalan keluar.

Semua ini lahir daripada satu sikap: mahu yang senang, bukan yang benar.

Fikiran seperti ini bukan fikiran Alkitabiah — ini fikiran yang berasal dari Iblis. Orang Kristian berkahwin bukan dengan mentaliti “kalau tak jadi, cerai saja”, tetapi dengan komitmen menjadi satu daging, untuk selamanya, sambil membina mahligai cinta yang unik, setia, dan kudus. Mencipta sejarah yang indah bersama, bukan menyediakan pelan kegagalan sejak awal.

Kalau seseorang mahu berkahwin tetapi tidak berfikir demikian — tidak mahu setia, tidak mahu berjuang, tidak mahu memelihara perjanjian — maka soalnya mudah:

Untuk apa sebenarnya mahu berkahwin? Bukankah Allah menjadikan mereka satu? Jiwa dan roh mereka milik-Nya. Apakah yang dicari-Nya? Dia mencari keturunan yang salih. Oleh sebab itu jagalah dirimu, dan janganlah ada antara kamu yang mengkhianati isteri dari masa mudamu. “Aku membenci perceraian,” demikianlah firman TUHAN, Allah Israel, “juga orang yang menjadikan tindakan ganas sebagai pakaiannya,” demikianlah firman TUHAN alam semesta. “Oleh sebab itu jagalah hatimu dan jangan berkhianat.”


Maleakhi 2:15-16 Sumber : Facebook @ Edmund Kumar

Comments


bottom of page