Bermula dengan Baik, Berakhir dengan Baik juga
- Komuniti Digital 05
- 2 days ago
- 1 min read

“ ‘Orang ini telah memulakan pembinaan itu, tetapi tidak dapat pula menyiapkannya.’ ” Lukas 14:30 AVB
Yesus memberitahu setiap orang yang ingin mengikut-Nya bahawa mereka perlu membuat perhitungan terlebih dahulu, sebagaimana seorang yang mahu membina sebuah menara menganggarkan perbelanjaannya. Lebih elok lagi kalau dia dapat menyediakan perbelanjaan yang lebih banyak daripada apa yang dianggarkannya. Jika dia sudah meletakkan asas menara itu tetapi tidak dapat menyiapkan pembinaannya, semua orang yang melihat hal itu akan mengejeknya. Sebab dia memulakan pembinaan tetapi tidak dapat menyudahkannya. Malulah dia nanti.
Demikian juga dengan seseorang yang ingin mengikut Yesus. Dia perlu membuat perhitungan yang sangat baik sebelum memulakan perjalanan hidup barunya. Sebab sekiranya dia tidak membuat perhitungan dengan semasak-masaknya, takut nanti perjalanan hidup berasaskan imannya terhenti setengah jalan. Sudah tentulah hal ini amat merugikan dirinya.
Tegasnya, seseorang yang ingin mengikut Tuhan Yesus perlu membuat perhitungan dengan bersungguh-sungguh agar dia dapat mengakhiri perlumbaan hidupnya sebagai murid Yesus dengan baik sekali. Sebab perhitungan yang dibuat dengan tergesa-gesa akan menyebabkan hidup rohani seseorang itu terkandas.
Betapa pentingnya kita memulakan perjalanan hidup sebagai murid Tuhan Yesus yang baik dengan mengingati ibarat Yesus tentang orang yang ingin membina sebuah menara. Setiap murid Yesus harus bersiap sedia untuk menanggung pengorbanan peribadi dan memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada-Nya.
Seperti pepatah yang berbunyi, “Bermula dengan baik dan berakhir dengan baik juga” dan janganlah sebaliknya, “Bermula dengan baik, tetapi berakhir dengan teruk”.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk membuat perhitungan yang baik apabila aku memutuskan untuk menerima Tuhan Yesus sebagai Penyelamatku dan menjadi murid-Nya. Biarlah segala-galanya bermula dengan baik dan berakhir dengan baik juga. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments