top of page

Bersatu Hati Dalam Tuhan

  • 1 hour ago
  • 2 min read

 

Aku merayu kepada Euodia dan Sintikhe supaya bersatu hati dalam Tuhan. Filipi 4:2 AVB

 

Rasul Paulus menasihati Euodia dan Sintikhe agar mereka sehati sefikir sebagai saudari seiman yang sudah hidup bersatu dengan Tuhan Yesus. Cara yang terbaik bagi mereka adalah untuk berdamai semula dan berhenti daripada berselisih antara satu sama lain.

 

Siapakah Euodia dan Sintikhe? Nama Euodia bererti “wangian murni” dan nama Sintikhe bererti "bertuah". Euodia dan Sintikhe merupakan anggota jemaah di Filipi. Mereka juga pelayan dan pemimpin wanita yang sangat terkenal pada masa itu. Pada mulanya Injil diberitakan kepada kaum wanita yang berhimpun di tepi sungai di Filipi (Kisah Para Rasul 16:13) dan jemaah dibangunkan dalam kalangan wanita di rumah Lidia (Kisah Para Rasul 16:15,40).

 

Paulus tidak memihak sesiapa dan tidak menyebut siapa yang bersalah tetapi jika mereka berdua bersatu hati dalam Tuhan Yesus, ketidakharmonian mereka boleh lenyap. Paulus terpaksa merayu kepada kedua-dua orang wanita ini kerana perselisihan mereka nampaknya begitu serius. Besar kemungkinan masalah mereka disebabkan oleh pertikaian peribadi atau pertentangan personaliti. Apa-apa pun, mereka harus berhenti daripada saling bertengkar kerana mereka saudari seiman. Tegasnya, mereka haruslah memohon pertolongan dan kasih kurnia Allah untuk mencari jalan pendamaian.

 

Bersatu hati dalam Tuhan tidak bererti bersetuju dalam semua perkara tetapi mencari persamaan dalam identiti, misi dan kasih dalam Tuhan. Perselisihan biasa berlaku tetapi jangan sampai mengganggu gugat misi jemaah. Apabila kita memfokuskan persamaan kita dalam Tuhan, kita boleh memelihara kesejahteraan, kesepakatan dan kesaksian jemaah. Marilah kita menangani setiap perbezaan pendapat dengan merendah diri di hadapan Allah dan memohon bimbingan-Nya supaya tidak melonggarkan ikatan persaudaraan kita.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, tolonglah aku untuk merendah diri dan memohon bimbingan daripada-Mu sekiranya aku menghadapi perbezaan pendapat dengan orang tertentu. Kuasailah hatiku supaya tetap tenang dalam setiap perbezaan pendirian. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page