Bersatu Menurut Teladan Paulus
- 1 day ago
- 2 min read

Saudara-saudara, bersatulah menurut teladanku, dan perhatikan mereka yang hidup selaras dengan teladan yang kami berikan. Filipi 3:17 AVB
Rasul Paulus menggesa semua saudara saudari dalam Kristus di Filipi supaya mengikut teladan dirinya di samping memperhatikan mereka yang telah menjalani hidup yang sama seperti dirinya. Janganlah salah sangka bahawa Paulus meninggikan diri apabila dia berpesan sedemikian. Paulus mencabar mereka untuk menurut teladannya sebagaimana dia meneladani Kristus. Sebenarnya, jemaah awal memerlukan panduan praktikal untuk jalan hidup dan tingkah laku mereka.
Selama ini Paulus telah memberikan teladan yang benar kepada mereka. Dia hidup dengan rendah hati, gagah berani memberitakan Injil,sanggup berkorban apa-apa sahaja demi Injil dan taat setia sepenuhnya kepada Tuhan Yesus. Selain itu, mereka diminta bukan sahaja menurut teladan Paulus, tetapi juga untuk memperhatikan saudara saudari seiman yang hidup berlandaskan Injil dan selaras dengan teladan yang diberikan.
Paulus memberitahukan hal ini kerana pada masa itu terdapat beberapa orang percaya yang ada di Filipi tidak memberikan teladan hidup yang betul. Oleh itu, Paulus ingin mengingatkan mereka bahawa orang percaya yang sejati tidak lagi hidup dipimpin oleh keinginan sifat tabii yang berdosa, tetapi hidup dipimpin oleh Roh Kudus. Tegasnya, Paulus mahu mereka mengikut teladan dirinya supaya mereka tidak terpengaruh oleh mereka yang memberikan teladan yang salah. Kumpulan tersebut telah menolak kuasa Injil dengan menjalani hidup hanya untuk memuaskan hawa nafsu mereka.
Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Marilah kita menyelidiki diri sama ada kita mengikut teladan yang benar, iaitu teladan yang dipimpin oleh Roh Kudus dan bukan teladan yang dipimpin oleh hawa nafsu atau keinginan sifat tabii. Ingatlah untuk mengelilingi diri kita dengan orang yang takut akan Allah, menjalani hidup yang berlandaskan Injil dan memperlihatkan buah Roh.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk mengikut teladan benar yang memuliakan nama-Mu. Pakailah hidupku untuk menjadi teladan dan berkat kepada orang lain di sekelilingku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments