Bersiap Sedialah untuk Kedatangan Tuhan Yesus
- Komuniti Digital 05

- 12 minutes ago
- 1 min read

Sementara menantikan apa yang akan datang ke muka bumi, manusia akan jatuh pengsan kerana takut dan bimbang terhadap apa yang akan terjadi di dunia. Kuasa-kuasa di langit akan digoncang. Lukas 21:26 AVB
Tuhan Yesus memberitahukan tanda-tanda luar biasa yang akan kelihatan pada matahari, bulan, dan bintang sebelum kedatangan-Nya yang kali kedua ke dunia ini. Matahari akan dikelamkan dan bulan tidak akan bersinar lagi. Bintang-bintang di langit akan gugur, dan kuasa-kuasa di langit akan digoncang. Semua kejadian ini tidak pernah berlaku di atas langit atau di bawah langit. Selain itu, di muka bumi ini semua bangsa kelak sengsara dan bingung akan deru serta gelora lautan yang belum pernah terjadi sebelum ini. Semua ini di luar batas kejadian alam yang biasa.
Segala kejadian yang sangat mengerikan ini akan menyebabkan bangsa-bangsa di seluruh dunia jatuh pengsan kerana takut dan bimbang sementara menantikan apa yang akan berlaku di seluruh bumi.Bayangkan matahari menjadi gelap dan bulan tidak lagi bercahaya! Bintang-bintang akan jatuh dari langit, dan kuasa di angkasa lepas akan ditarik daripada peredarannya. Atas semua kejadian ini, maka semua yang tidak mempercayai Tuhan Yesus akan menjadi gentar dan cemas tetapi semua ini pula membawa pengharapan besar kepada mereka yang mempercayai-Nya.
Kemudian, bangsa-bangsa di seluruh dunia akan melihat Anak Manusia datang dalam awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar. Apabila segala perkara ini mula terjadi, kita harus meneguhkan hati kita dan mengangkat kepala kita kerana masa penyelamatan kita telah hampir tiba.
Sesungguhnya, kita harus memastikan hidup kita kudus dan diperkenan oleh Allah setiap hari agar pada waktu kedatangan kembali Tuhan Yesus, kita sudah bersiap sedia diterima-Nya.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, inilah hidupku. Bersihkan dan sucikan aku daripada segala dosaku agar aku sentiasa bersiap sedia untuk kedatangan kembali Tuhan Yesus. Biarlah hidupku sentiasa di bawah kuasa dan bimbingan Roh Kudus untuk memuliakan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments