Bersiap-siaplah Untuk Menghadapi Apa-apa Sahaja
- Komuniti Digital 05
- Aug 12
- 1 min read

“Kamu hendaklah bersiap sedia dengan pelitamu terpasang.” Lukas 12:35 AVB
Tuhan Yesus memperingatkan murid-murid-Nya supaya sentiasa bersiap sedia untuk kedatangan kembali-Nya, seperti para hamba yang menantikan tuan mereka pulang dari jamuan perkahwinan. Mereka selalu bersiap-siap untuk menyambut kedatangannya dengan lampu-lampu yang menyala agar sewaktu tuan mereka pulang dan mengetuk pintu, mereka sudah siap sedia dan akan segera membuka pintu baginya.
Demikianlah harusnya sikap setiap murid Tuhan Yesus sewaktu mereka menunggu kedatangan kembali-Nya. Mereka perlu memiliki sikap yang sentiasa bersiap-siap dan berjaga-jaga untuk menyambut kedatangan-Nya.
Apabila Yesus datang kembali dan mengetuk pintu, mereka sudah bersiap sedia lalu mereka dengan serta-merta akan membuka pintu bagi-Nya dan menyambut Dia untuk masuk. Sebab kedatangan kembali-Nya adalah secara tiba-tiba tanpa diketahui masanya. Dengan kata lain, Dia akan datang kembali bila-bila masa baik pada tengah malam ataupun sebelum fajar menyingsing dan mengetuk pintu.
Oleh itu, Tuhan Yesus menasihati murid-murid-Nya supaya sentiasa bersiap sedia dengan terus giat melakukan pekerjaan-Nya. Bagaimanakah dengan diri kita hari ini? Apakah kita mendambakan kedatangan kembali-Nya dan bersedia-sedia dengan lampu yang terpasang serta bersungguh-sungguh dalam pelayanan setiap hari? Sesungguhnya, kedatangan Tuhan Yesus adalah secara tiba-tiba tanpa disangka. Dengan itu, bersiap sedialah sentiasa….
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk terus bersiap sedia menantikan kedatangan kembali Tuhan Yesus dengan penuh iman dan pengharapan. Tolonglah aku sentiasa giat melayani-Mu tanpa jemu atau berasa letih. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Kommentare