top of page

 Bersinar Seperti Bintang

  • 18 hours ago
  • 2 min read

 

... supaya dirimu tidak beraib dan bersalah, dan kamu menjadi anak-anak Allah yang tidak bercela antara manusia. Dalam zaman yang penuh tipu daya dan perbuatan songsang, maka terserlahlah kamu seperti bintang dalam dunia, berpegang teguh pada firman yang memberikan kehidupan. Dengan demikian aku dapat bersukacita pada hari Kristus kerana hidup dan usahaku tidak sia-sia.  Filipi 2:15-16 AVB

 

Rasul Paulus memberitahu saudara saudari dalam Kristus bahawa dalam segala perbuatan mereka, janganlah bersungut-sungut dan berbantah-bantah. Sifat sedemikian akan menunjukkan ketulusan dan kemurnian mereka sebagai anak-anak Allah yang tidak bercela biarpun mereka hidup dalam kalangan orang jahat dan yang berdosa. Nyatalah bahawa anak-anak Allah hendaklah hidup berbeza daripada orang jahat dan yang berdosa.

 

Ketika mereka menyampaikan berita yang memberikan hidup yang sejati, mereka harus bersinar seperti bintang menerangi langit yang gelap. Sebagai bintang dalam dunia yang gelap, mereka dapat membawa orang yang belum mempercayai Tuhan Yesus kepada-Nya. Jika mereka berbuat demikian, Paulus mempunyai alasan untuk berbangga dengan mereka pada Hari Kristus datang kembali. Hal itu membuktikan bahawa segala usaha dan jerih payah Paulus tidak sia-sia.

 

Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Kita memang hidup dalam zaman yang penuh tipu daya dan perbuatan songsang. Akan tetapi, dengan pertolongan Allah, kita masih boleh terserlah seperti bintang dalam dunia. Biarlah cahaya kita bersinar di hadapan orang ramai, supaya mereka melihat perbuatan kita yang baik lalu memuji Bapa kita yang di syurga lalu menaruh kepercayaan kepada-Nya.

 

Marilah kita menjalani hidup kita sebagai anak-anak Allah yang tidak beraib dan bersalah, dengan berpegang teguh pada firman Allah sepanjang hidup kita, supaya kita boleh bersukacita pada hari Kristus datang kembali. Hidup dan usaha kita pasti tidak sia-sia.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, bimbinglah aku agar aku sentiasa menjalani hidup yang berkenan kepada-Mu. Dalam zaman yang penuh tipu daya dan perbuatan songsang, ajarlah diriku untuk tidak beraib dan bersalah serta terus bersinar seperti bintang menerangi langit. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page