top of page

Bersukacita Dalam Tuhan

  • 5 hours ago
  • 2 min read

 

Tetapi aku amat bersukacita dalam Tuhan kerana akhirnya sekarang prihatinmu terhadapku telah semarak semula. Sebenarnya dahulu pun kamu sudah mengambil berat terhadapku, tetapi tidak ada kesempatan bagimu.  Filipi 4:10 AVB

 

Rasul Paulus sekarang ini sedang menjalani sisa-sisa hidupnya di dalam penjara. Namun demikian, dalam hidupnya yang bersatu dengan Tuhan, dia bersukacita kerana setelah sedemikian lama, sekali lagi saudara saudari dalam Kristus di Filipi berpeluang mengambil berat terhadap dirinya. Keprihatinan mereka telah semarak semula.

 

Maka Paulus melahirkan sukacita yang tulus ikhlas kerana saudara saudari dalam Kristus di Filipi mengiriminya bantuan kewangan untuk pelayanannya memberitakan Injil. Bagaimanapun, sukacita Paulus bukanlah sekadar mengenai bantuan kewangan tersebut, tetapi kasih dan keprihatinan yang diperlihatkan mereka kepadanya. Itulah yang lebih penting dan bermakna baginya.

 

Apabila Paulus menyebut “akhirnya” dan “tidak ada kesempatan”, dia bukanlah menegur mereka. Dia mahu memberitahu mereka supaya mereka tidak perlu berkecil hati bahawa adakalanya mereka tidak dapat menolong dirinya atas sebab-sebab tertentu, seperti jarak, tiada utusan/penghantar, atau kekangan kewangan yang terhad. Paulus memang tahu bahawa sejak dahulu lagi, mereka sangat menyokong pelayanannya dan pernah mengirimkan bantuan kewangan untuknya, tetapi ada masanya mereka tidak mendapat kesempatan untuk melakukannya. Apatah lagi, keadaan Paulus sendiri tidak menentu disebabkan dia dipenjarakan dan kapal terkandas dalam pelayarannya ke Roma.

 

Ayat suci ini sebenarnya merupakan pengenalan kepada ajaran Paulus tentang “berasa cukup”. Paulus mengajar mereka bahawa dia sudah belajar hidup dalam keadaan apa pun kerana dia telah belajar berasa cukup. Sesungguhnya, damai sejahtera dan rezeki Paulus datang daripada Allah, bukannya manusia. Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Kita juga hendaklah tetap bersukacita dan belajar berasa cukup dalam segala keadaan kerana damai sejahtera dan rezeki kita sebenarnya juga datang daripada Allah.

 

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, ajarlah aku untuk hidup bersatu dengan-Mu sepanjang hidupku. Dalam-Mu hidupku tetap damai sejahtera kerana Engkau sama sekali tidak akan meninggalkan aku tetapi akan menolong aku dalam segala keadaan. Dalam nama-Mu yang di atas segala nama aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page