Bersukacitalah Dalam Tuhan
- Jun 15
- 1 min read

Bersukacitalah dalam Tuhan sentiasa. Kukatakan lagi: Bersukacitalah! Filipi 4:4 AVB
Rasul Paulus menggesa saudara saudari dalam Kristus di Filipi supaya mereka sentiasa bersukacita dalam Tuhan kerana mereka sudah hidup bersatu dengan Tuhan Yesus. Perkataan “bersukacita” disebut dua kali oleh Paulus untuk menekankan betapa pentingnya bersukacita dalam Tuhan.
Apakah erti “sukacita” dalam konteks Alkitab? “Sukacita” ialah kebahagiaan, kegembiraan atau senang hati yang bersumberkan hubungan peribadi seseorang dengan Tuhan Yesus dan tidaklah berdasarkan keadaan ataupun emosi pada sesuatu masa. Menurut pemazmur, semua orang yang bernaung kepada Allah akan bersukacita; mereka akan sentiasa bernyanyi kegembiraan. Orang yang mengasihi nama Allah dapat bersukacita dalam-Nya.
Sukacita sebagai buah Roh (Galatia 5:22) ialah hasil pekerjaan Roh Kudus dalam diri seseorang yang telah menerima Tuhan Yesus sebagai Penyelamat hidupnya secara peribadi. Sukacita yang diberikan oleh Tuhan Yesus tidak akan berubah mengikut keadaan sekeliling tetapi ia bersifat tetap meskipun seseorang itu mengharungi pahit maung.
Bagaimanakah kita dapat bersukacita dalam masa getir yang penuh cabaran? Tidak dinafikan orang Kristian tidak terlepas daripada dugaan, tentangan, penganiayaan, penyakit, kesakitan, dan maut jasmani. Orang Kristian boleh sentiasa bersukacita dalam Tuhan kerana Tuhan Yesus sentiasa bersama kita. Seseorang itu akan tetap memiliki sukacita dalam hatinya sekiranya dia dipenuhi Roh Kudus. Bersukacitalah sentiasa. Berdoalah sepanjang masa. Bersyukurlah dalam segala keadaan kerana inilah yang dikehendaki Allah daripada kita dalam Kristus Yesus.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Bimbinglah aku dalam segala yang aku lakukan. Biarlah Roh Kudus memenuhi aku dan tolonglah aku sentiasa bersukacita dalam-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie



Comments