Bersyukur Kepada Allah
- 2 days ago
- 2 min read

Aku bersyukur kepada Allah setiap kali aku teringat akan kamu ... Filipi 1:3 AVB
Rasul Paulus memberikan teladan yang sangat baik untuk kita ikuti sebagai pengikut Yesus yang sejati. Paulus berkata bahawa setiap kali dia teringat akan saudara saudari dalam Kristus di Filipi, dia dengan sukacitanya bersyukur kepada Allah. Dengan kata lain, kesyukuran Paulus didorong oleh ingatan mesranya terhadap jemaah di Filipi.
Setiap kali saudara saudari dalam Kristus terlintas di kepala Paulus, dia mengucap syukur kepada Allah atas iman, kesetiaan, ketabahan, sokongan dan pelayanan mereka. Sejak awal lagi orang percaya di Filipi melibatkan diri secara aktif sama ada waktu senang ataupun waktu susah untuk berkongsi Injil. Secara tidak langsung hal ini memperlihatkan hubungan yang baik lagi erat antara Paulus dengan mereka sebagai rakan kongsi penginjilan.
Bagaimanakah dengan diri kita? Adakah kita mengucap syukur kepada Allah apabila kita teringat akan saudara saudari dalam Kristus saat ini tanpa mengira keadaan kita, baik senang mahupun susah? Adakah iman, kesetiaan, ketabahan, sokongan dan pelayanan mereka menggerakkan hati kita untuk bersyukur kepada Allah?
Demikian juga saudara saudari dalam Kristus akan mengingati diri kita. Mungkin kita tidak dapat melihat kesan daripada pelayanan kita kepada mereka yang ada di sekiling kita. Akan tetapi, lama-kelamaan segala pekerjaan kita demi kerajaan Allah pasti akan memberikan sedkit sebanyak kesan terhadap hidup mereka, seperti Paulus dengan jemaah di Filipi.
Oleh itu, layanilah Allah dengan sepenuh hati kita. Jangan berganjak daripada pekerjaan Allah kerana segala yang kita lakukan demi-Nya pasti tidak akan menjadi sia-sia. Kita hendaklah meneguhkan iman dan bersungguh-sungguh dalam pelayanan kita. Syukurlah bahawa dalam Allah, jerih lelah kita berbaloi dan akan berbuah demi kemuliaan-Nya.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, terima kash atas kesempatan yang Engkau berikan kepada aku untuk melayani-Mu. Ajarlah aku untuk terus berkongsi Injil dan kasih kurnia-Mu dengan penuh kesyukuran dan sukacita. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments