top of page

Bertaubat untuk Kembali Kepada Allah

  • 2 days ago
  • 1 min read

Petrus pun keluar lalu menangis dengan amat kesalnya. Lukas 22:62 AVB

 

Ketika Petrus menyangkal Yesus untuk kali ketiga dengan berkata, “Aku tidak memahami apa yang kaukatakan. Biarlah Allah menghukum aku jika aku berdusta! Aku tidak kenal akan orang itu!” Pada ketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok. Tuhan Yesus berpaling dan memandang kepada Petrus lalu Petrus pun teringat akan apa yang dikatakan Tuhan kepadanya bahawa, “Sebelum ayam berkokok pada hari ini, engkau akan menyangkal Aku sebanyak tiga kali.”

 

Petrus pun keluar dari halaman rumah Imam Besar Kayafas lalu menangis dengan sangat sedih. Sebab dia tahu bahawa dia telah berbuat dosa dengan menyangkal Yesus sebanyak tiga kali. Dia sangat menyesali perbuatannya itu.

 

Setiap manusia pasti pernah membuat kesalahan, namun apa yang sangat penting bagi setiap diri kita adalah untuk cepat-cepat bertaubat dan mengakui kesalahan kita di hadapan Allah. Tegasnya, kesedaran, keinsafan dan pertaubatan akan dosa merupakan hal yang sangat penting supaya kita tidak akan terus terikat oleh dosa. Apatah lagi, sekiranya kita enggan mengaku bahawa kita berdosa, kita menipu diri kita sendiri dan kebenaran tidak ada dalam diri kita.

 

Apabila kita sedar bahawa kita telah berdosa, bangkitlah dan mohonlah pengampunan daripada Allah atas segala dosa kita. Jika kita merendah diri di hadapan Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan melakukan apa yang adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan menyucikan kita daripada segala perbuatan yang salah. Oleh itu, janganlah angkuh atau malu atau berlengah-lengah lagi untuk mengakui dosa kerana Allah yang suci tetapi penuh dengan kasih kurnia dan belas kasihan akan mengampuni kita. Allah tidak akan meremehkan hati yang hancur dan sesal.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, sedarkanlah aku akan dosa-dosa yang aku lakukan. Ajarlah aku untuk merendahkan diriku di hadapan-Mu. Sekiranya aku melakukan sesuatu yang tidak menyenangkan hati-Mu, biarlah Roh Kudus-Mu membimbing aku ke arah segala kebenaran. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page