top of page

Biarkan Hati dan Fikiran Sentiasa Diperbaharui oleh Roh Kudus

  • 3 days ago
  • 2 min read

“dan kamu diperbaharu dalam roh pemikiranmu;”

Efesus 4:23 (AVB)


Paulus menjelaskan bahawa orang yang berada di dalam Kristus ialah mereka yang telah mengenal-Nya dan menerima kehidupan yang baharu. Mereka menyedari bahawa hidup mereka telah ditebus daripada dosa oleh Kristus Yesus dan bahawa mereka kini menjadi anak-anak Allah.


Oleh sebab mereka telah hidup bersatu dengan Kristus, hati dan fikiran mereka harus terus diperbaharui. Pembaharuan ini penting supaya cara berfikir, sikap, dan kehidupan mereka semakin selaras dengan kehendak Tuhan.


Hati dan fikiran merupakan bahagian penting dalam kehidupan seseorang. Apa yang memenuhi fikiran akan mempengaruhi sikap, pilihan, dan perbuatan. Oleh itu, orang percaya perlu membenarkan Roh Kudus bekerja melalui kebenaran firman Tuhan untuk memperbaharui seluruh kehidupan mereka.


Dalam perjalanan iman, kita boleh berhadapan dengan keraguan, godaan, dan keinginan duniawi yang cuba menjauhkan kita daripada kebenaran. Sekiranya hati dan fikiran tidak dijaga, perkara-perkara tersebut boleh menguasai kehidupan dan melemahkan hubungan kita dengan Tuhan.


Itulah sebabnya Paulus menasihatkan jemaat di Efesus supaya hati dan fikiran mereka diperbaharui dalam roh pemikiran mereka. Pembaharuan ini bukan berlaku sekali sahaja, tetapi merupakan proses yang perlu dialami setiap hari melalui firman Tuhan, doa, dan ketaatan kepada pimpinan Roh Kudus.


Apabila hati dan fikiran kita diperbaharui, sikap dan tingkah laku kita juga akan berubah. Kita akan semakin mampu membezakan perkara yang benar, menolak keinginan yang berdosa, dan menjalani kehidupan yang menyenangkan hati Tuhan.


Oleh itu, marilah kita menyerahkan hati dan fikiran kepada Tuhan setiap hari. Biarlah Roh Kudus memperbaharui kita melalui kebenaran firman-Nya supaya kehidupan kita semakin mencerminkan sifat Kristus.


Doa:

Tuhan Yesus, aku datang kepada-Mu dan memohon agar Roh Kudus sentiasa memperbaharui seluruh hati dan fikiranku. Bentuklah sikap, perkataan, dan tingkah lakuku supaya semakin menyerupai-Mu dan menyenangkan hati-Mu. Ajarlah aku untuk tunduk kepada pimpinan Roh Kudus dan hidup menurut kebenaran firman-Mu setiap hari. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page