Biarlah Yesus Mengendalikan Hidup Kita
- Komuniti Digital 05

- 1 day ago
- 1 min read

“…Sementara Yesus lalu dengan menunggang keldai itu, orang ramai membentangkan jubah di jalan........” Lukas 19:36
Apabila kedua pengikut Yesus menemui anak keldai yang Yesus beritahukan kepada mereka untuk diambil bagi-Nya, mereka pun membawa anak keldai itu kepada Yesus. Mereka menaruh jubah mereka ke atas punggung keldai itu lalu menolong Yesus naik ke atasnya.
Sewaktu Yesus duduk di atas anak keldai itu dan menunggangnya masuk ke dalam Yerusalem, orang ramai membentangkan jubah mereka di jalan. Para pengikut Yesus rela mengalasi keldai itu dengan pakaian mereka. Demikian juga orang ramai yang mengikut-Nya, mereka merelakan jubah mereka diinjak-injak sebagai jalan bagi Tuhan.
Mereka melakukan semuanya itu bukan kerana keldai yang ditunggangi Yesus, tetapi kerana peribadi yang duduk di atasnya. Mereka rela mengorbankan apa yang mereka miliki kerana mereka melihat siapakah yang sedang ditinggikan. Mereka mahu menghormati Dia yang duduk di atas keldai itu.
Peribadi yang duduk di atas keldai itu mengubah cara orang ramai memandang keldai tersebut. Dalam sekejap sahaja, keldai itu menjadi istimewa di mata orang ramai kerana Yesus yang menungganginya. Pandangan dan penerimaan orang ramai berubah sepenuhnya.
Orang ramai tidak peduli bahawa jubah mereka dipijak oleh keldai itu, kerana mereka memuliakan Yesus yang dibawanya. Demikian juga dengan diri kita—orang akan menghormati kita apabila Yesus yang “duduk” di dalam kehidupan kita, memerintah dan mengendalikan hati kita.
Oleh itu, berilah tempat dalam hati kita untuk Yesus duduk dan memerintah…
Doa: Tuhan Yesus, aku datang kepada-Mu dan menyerahkan seluruh hidup aku kepada-Mu. Bertakhtalah dalam hidup aku, kuasailah aku, Tuhan, dan kendalikanlah hidup aku. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.
Pr Patrick Taie




Comments