top of page

Buah Manusia

7 days ago
2 min read

Penyataan Kerendahan Hati dalam Gereja - Hari 39

Ayat Fokus: 2 Petrus 3:18


Adakah kamu masih ingat tentang sahabat misionari dari Kanada yang saya ceritakan tahun lalu? Keluarganya telah melayani Tuhan selama enam generasi di China, Hong Kong, Singapura, Borneo, dan tempat-tempat lain. Ayahnya merupakan seorang doktor hutan di Batu 86, Sandakan. Pada tahun 1967, seluruh keluarganya terpaksa meninggalkan Sabah. Tetapi sebelum mereka pergi, sahabat saya — yang ketika itu baru berumur 16 tahun — menanam beberapa anak pokok limau bali, langsat, dan rambutan di sekitar hospital hutan itu.


Kira-kira 50 tahun kemudian, dia berpeluang kembali untuk melihat sama ada pokok-pokok itu berbuah. Malangnya, hospital dan pokok-pokok itu sudah tiada! Dia menemui sebuah gereja berhampiran dan bertanya kepada pastor tentang pokok-pokok itu. Pastor itu memberitahunya bahawa anak-anak pokok tersebut telah tumbuh menjadi pokok yang besar dan berbuah lebat. Apabila pokok-pokok itu menjadi tua dan tidak lagi berbuah, gereja menebangnya dan menggunakan batangnya untuk membina sebuah pondok supaya orang percaya boleh berkumpul untuk persekutuan dan makan bersama. Bukankah itu sangat menarik? Walaupun pokok-pokok itu sudah lama tiada, ia masih melayani umat Tuhan!


Sahabat saya tidak kecewa. Malah dia bersukacita. Kamu tahu mengapa? Pastor itu memberitahunya bahawa gereja itu mempunyai 500 orang ahli! Ini adalah hasil buah yang jauh lebih baik! Mungkin ahli gereja itu adalah hasil daripada benih pemberitaan dan pelayanan perubatan daripada ibu bapanya suatu ketika dahulu. Dia pergi mencari buah daripada pokok-pokok itu, tetapi sebaliknya menemukan ‘buah manusia’ yang jauh lebih bermakna bagi kerajaan Allah.


Inilah yang boleh terjadi dalam hidup kita apabila kita berjalan dengan rendah hati dan dalam takut akan Tuhan. Kerendahan hati akan bertumbuh, perlahan tetapi pasti dalam hidup kita, bahkan lebih daripada 50 tahun kemudian. Ia adalah satu pilihan setiap hari. Apabila kita mempraktikkan kerendahan hati, mungkin kita juga sedang menanam anak benih kerendahan hati dalam hidup orang lain. Marilah kita menghasilkan banyak buah bagi Kristus. Inilah jenis ‘buah’ yang kekal dan tidak pernah menjadi tua.


Renungkan: Marilah kita mempraktikkan dan bertumbuh dalam kerendahan hati dalam hidup kita.


DOA

Tuhan, apabila saya memikirkan tentang kisah anak pokok dan buah ini, saya terdorong untuk memahami kerendahan hati dan mempraktikkannya dengan lebih lagi. Saya dapat melihat bahawa ia memerlukan masa untuk mula bertumbuh dan menghasilkan buah yang betul. Bantulah saya untuk setia dan tekun dalam memupuk kerendahan hati serta berjalan dengan rendah hati dalam takut akan Tuhan. Jadikanlah saya berkat kepada orang lain juga.


Gereja dan Bangsa


Tuhan, bentuklah dalam diri kami roh yang boleh diajar — cukup kuat untuk bertaubat, cukup lembut untuk berkata, “Saya minta maaf kerana telah bersalah kepada kamu,” dan sanggup untuk memperbetulkan keadaan serta hidup dalam damai antara satu sama lain.


Biarlah hidup kami mencerminkan buah Roh Kudus dan membawa kemuliaan kepada nama-Mu. Semoga kasih kurnia Tuhan kami Yesus Kristus menyertai kami sentiasa. Saya berdoa dalam nama-Mu Tuhan Yesus. Amin.

Comments


bottom of page