Pilihan Hari Malaysia

Penyataan Kerendahan Hati dalam Gereja - Hari 40
Ayat Fokus: 2 Petrus 3:17 & 18; Ulangan 30:9 & 10; dan Yosua 24:15
Pilihan. Kita semua mempunyai pilihan. Adakah saya mahu makan nasi atau mi hari ini? Adakah saya mahu pakai warna merah, biru, atau hijau hari ini? Adakah saya mahu berkata-kata yang baik atau yang kasar? Kita mempunyai begitu banyak pilihan. Ada yang penting dan ada yang tidak.
Musa memberikan pilihan yang sangat penting kepada umat Israel. Mereka boleh memilih untuk taat kepada Tuhan atau tidak. Satu pilihan akan membawa kehidupan; yang satu lagi, kematian. Dia memberitahu mereka, “Pilihlah kehidupan!”
Yosua juga memberi mereka satu pilihan besar. Dia memberitahu mereka untuk memilih sama ada mahu melayani TUHAN, atau melayani tuhan berhala bangsa lain. Kemudian dia memberitahu mereka,
“Tetapi kami, iaitu aku dan keluargaku, akan beribadat kepada TUHAN!’ ” (Yosua 24:15)!
Hari ini, tiba masanya untuk kita membuat pilihan! Kita boleh memilih untuk melupakan semua yang kita telah pelajari tentang kerendahan hati dalam 39 hari yang lalu… ATAU, kita boleh memilih untuk mengingatinya dan melakukannya dalam hidup kita. Jika kita memilih ‘TIDAK’ kepada kerendahan hati, perjalanan kita bersama Yesus akan menjadi goyah dan lemah. Tetapi jika kita memilih ‘YA,’ kita akan membawa kemuliaan kepada Tuhan dengan kerendahan hati kita.
Pilihlah kehidupan. Pilihlah TUHAN. Marilah kita memilih untuk berjalan dalam kerendahan hati bersama Tuhan kita. Esok ialah Hari Malaysia 2026. Semoga hari ini mencetuskan pilihan-pilihan yang baik dalam hati dan hidup kita sehingga Yesus datang kembali.
SELAMAT HARI MALAYSIA!
Renungkan: Adakah kamu akan memilih kerendahan hati?
DOA
Bapa di syurga, Engkau sentiasa begitu baik kepada kami, anak-anak-Mu. Engkau mengasihi kami dengan kasih dan kebaikan-Mu yang kekal. Kami tidak akan dapat menemukan kasih dan penjagaan yang sempurna seperti ini di tempat lain. Bentuklah dalam diri saya satu pengabdian kepada-Mu, dan tolonglah saya terutamanya untuk bertumbuh dalam kerendahan hati seperti Yesus. Semoga saya meneladani Dia dan sikap-Nya hari ini dan sepanjang hidup saya. Semoga Roh Kudus-Mu menegur dan mengingatkan saya apabila saya terlupa. Bawalah saya kembali kepada-Mu lagi dan lagi. Saya memilih Engkau, dengan pertolongan-Mu. Saya berdoa dalam nama Yesus. Amin.
Gereja dan Bangsa
Marilah kita menyatakan Mazmur 24:3–6
Siapa yang boleh naik ke bukit TUHAN? Siapa yang boleh berdiri di tempat suci-Nya?
Manusia yang bersih tangannya dan murni hatinya, yang tidak mempersembahkan jiwanya kepada berhala atau sumpah palsu.
Dia akan diberkati TUHAN dan menerima kebenaran daripada Allah Penyelamatnya.
Inilah keturunan yang mencari Dia, yang mencari wajah-Mu, ya Allah Yakub
Marilah kita memilih untuk menjadi generasi itu. Amin.




Comments