Buah Perbenaran Melalui Yesus
- 2 days ago
- 2 min read

... serta dipenuhi dengan buah perbenaran yang datang melalui Yesus Kristus, untuk memuji dan memuliakan Allah. Filipi 1:11 AVB
Rasul Paulus berdoa kepada Allah untuk saudara saudari dalam Kristus di Filipi supaya mereka dipenuhi dengan buah perbenaran yang datang melalui Yesus Kristus, untuk memuji dan memuliakan Allah. Dengan kata lain, kehidupan mereka yang benar di mata Allah akan kaya dengan banyak perbuatan yang benar-benar baik, iaitu hal-hal yang dikerjakan oleh kuasa Kristus Yesus demi kemuliaan dan pujian bagi Allah.
Oleh sebab mereka sudah menyerahkan hidup kepada Tuhan Yesus selepas menaruh kepercayaan kepada-Nya, Paulus berdoa agar Roh Kudus terus bekerja dalam hidup mereka sehingga menghasilkan buah perbenaran yang akan memuliakan Allah. Buah perbenaran merujuk kepada perbuatan-perbuatan baik yang merupakan hasil daripada transformasi hidup. Buah perbenaran ini tidak diwujudkan atas usaha manusia sendiri tetapi dihasilkan oleh kasih kurnia Allah dan pekerjaan Roh Kudus dalam diri orang percaya.
Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Adakah kita dipenuhi dengan buah perbenaran? Apabila Yesus Kristus bekerja dalam hidup kita yang percaya dan beriman kepada-Nya, maka hidup kita tidak dapat tidak dipenuhi dengan buah perbenaran. Iman tanpa buah perbenaran sia-sia sahaja dan mendukakan Allah. Kita tentu mahu memperlihatkan buah perbenaran dalam hidup kita.
Oleh itu, biarkan Tuhan Yesus terus bekerja dalam hidup kita setiap hari agar perbuatan yang benar-benar baik akan dilaksanakan. Yesus sahaja yang dapat menghasilkan buah perbenaran dalam hidup kita dan melalui kita. Orang di sekeliling kita yang melihat buah perbenaran kita itu akan menaikkan kemuliaan dan pujian kepada Allah.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku mengucapkan syukur kepada-Mu. Aku bersedia menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Pakailah hidupku untuk menghasilkan buah perbenaran bagi memuliakan nama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.




Comments