Buat Pertimbangan yang Baik untuk Mempersiapkan Diri
- Komuniti Digital 05

- Sep 26
- 2 min read

“Jika seorang raja yang mempunyai sepuluh ribu orang askar hendak keluar berperang dengan raja lain yang membawa dua puluh ribu orang askar untuk menyerangnya, dia akan mempertimbangkan dahulu sama ada dia cukup kuat untuk menentang raja tersebut.” Lukas 14:31 AVB
Tuhan Yesus berkata kepada orang ramai bahawa sewaktu mereka memilih untuk menjadi murid-Nya, mereka adalah seperti seorang raja yang hendak pergi berperang. Jika raja itu mempunyai sepuluh ribu orang askar tetapi dia hendak keluar bertempur dengan raja lain yang membawa dua puluh ribu orang askar untuk menyerangnya, dia akan mempertimbangkan terlebih dahulu sama ada dia cukup kuat untuk menentang raja tersebut. Kalau dia tidak dapat berbuat demikian, dia akan memerintah utusan-utusannya untuk bertanyakan syarat-syarat perdamaian semasa musuhnya masih jauh lagi.
Dengan kata lain, raja itu awal-awal lagi harus membuat pertimbangan tentang risiko atau kesulitan yang harus dihadapinya sebelum mula berperang. Pertama sekali, dia mesti memperhitungkan kekuatan pasukan askarnya. Jika dia bertarung dengan pihak lawan yang memiliki askar dua kali ganda lebih banyak daripadanya, dia tentu mengalami risiko besar untuk dikalahkan dan dibinasakan. Seandainya raja itu sedar bahawa dia tidak dapat menang, lebih baik dia menghantar utusan untuk membuat rundingan damai. Tindakan begitu akan mengelakkan kekalahan dan kerugian besar walaupun dia perlu merendahkan diri sebelum betul-betul dicabar.
Demikianlah halnya dengan seseorang yang ingin mengikut Tuhan Yesus. Sebab kehidupan orang yang percaya kepada Yesus boleh diumpamakan sebagai perang rohani yang harus dihadapi. Oleh itu, sebagai orang percaya, kita harus membuat pertimbangan yang baik sebelum kita bertindak. Yesus bukannya memberitahu kita untuk mengelak daripada menjadi murid-Nya tetapi kita hendaklah memahami pengorbanan yang perlu ditanggung. Sebagaimana raja yang keluar berperang membuat pertimbangan terlebih dahulu, seorang bakal murid Yesus juga harus menilai komitmen dirinya kepada Yesus.
Sebagai askar Kristus, kita perlu membuat pertimbangan yang sewajarnya sama ada kita dapat bertahan dalam segala kesusahan atau cabaran yang perlu kita tempuhi apabila kita berperang melawan kuasa-kuasa jahat di dunia ini. Ingatlah bahawa “kita berlawan bukan dengan darah dan daging, tetapi dengan para penghulu dunia daripada kegelapan zaman ini, para pemerintah dan penguasanya, dan tentera roh iblis di udara.” (Efesus 6:12 AVB)
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Ajarlah aku untuk membuat pertimbangan yang baik menurut kehendak-Mu sebelum aku mengambil sesuatu tindakan dalam hidup ini. Teguhkan imanku agar aku dapat berlari dengan gigih dalam perlumbaan hidup yang ditentukan bagiku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments