Cara Mengurus Perbezaan Pendapat
- 2 days ago
- 2 min read

Oleh itu, semua yang matang antara kita hendaklah berfikiran sedemikian, dan jika berbeza fikiranmu dalam apa pun, Allah akan menyatakan hal itu juga kepadamu. Filipi 3:15 AVB
Rasul Paulus menasihati semua saudara saudari dalam Kristus di Filipi yang sudah dewasa atau matang dalam hidup rohani supaya mereka mengendalikan perbezaan pendapat mereka dengan baik. Sebab perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi penghalang dan hambatan untuk mereka semakin mengenal Kristus dan terus bertumbuh dalam iman.
Oleh itu, Paulus berharap agar semua orang Kristian yang ada di Filipi yang sudah dewasa dan matang secara rohani memiliki tujuan dan sasaran yang sama seperti dirinya, iaitu hendak mengenal Tuhan Yesus Kristus dan kuasa kebangkitan-Nya, dan turut merasai penderitaan-Nya, serta menjadi seperti Dia dalam kematian-Nya. Sekiranya ada antara mereka yang tidak bersetuju dengan ajarannya itu, maka dia percaya bahawa Allah akan memberikan pengertian dan memimpin masing-masing ke jalan yang benar selagi mereka makan ajar serta peka kepada bisikan Roh Kudus.
Kematangan rohani tidak bererti kesempurnaan seratus peratus atau langsung tiada kekurangan atau kecacatan. Orang Kristian yang matang merupakan mereka yang taat setia sepenuh jiwa raga terhadap Tuhan Yesus dan berkomited untuk bertumbuh secara rohani dari hari ke hari. Sekiranya terdapat beberapa hal yang tidak dipersetujui mereka, Paulus percaya bahawa Allah akan membantu mereka dengan menjelaskan semua kebenaran kepada mereka.
Demikian jugalah kita yang hidup pada hari ini mungkin memiliki pemikiran yang sama dalam beberapa hal penting dan juga pemikiran yang berbeza dalam beberapa hal remeh. Keadaan ini tidak seharusnya menjadi hambatan dan halangan untuk kita matang secara rohani mengikut tahap masing-masing. Apa yang penting ialah jangan biarkan perbezaan pandangan menghalang kita sebagai jemaah untuk bersatu hati, tetapi biarlah Roh Kudus mencahayai kita untuk mengerti kebenaran Allah.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, berilah aku hikmah dan sifat rendah diri untuk mengurus setiap pandangan dan pemikiran yang berbeza, agar semua perbezaan pendapat tidak akan menyebabkan pelayanan bagi-Mu tergugat atau saudara saudari seiman tidak bersatu hati Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments