Carilah demi Mendapatnya
- Komuniti Digital 05
- 17 hours ago
- 1 min read

“Oleh itu, Aku berkata kepada kamu: Mintalah, dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu.” Lukas 11:9 AVB
Tuhan Yesus bukan sahaja mengajar para murid-Nya untuk berdoa meminta sesuatu tetapi Dia juga mengajar mereka supaya “mencarinya” kerana meminta sahaja tidak cukup untuk mendapat apa yang dikehendaki mereka tetapi ia harus disertai dengan usaha “mencari”.
Mencari juga haruslah daripada Allah dan bukan dari tempat lain. Mereka harus mencarinya daripada Allah sebagai Bapa mereka. Dialah tempat mereka harus datang dan menyatakan segala yang diperlukan dalam hidup mereka.
Sesungguhnya, pengikut-pengikut Tuhan Yesus harus datang mencari segala sesuatu yang diperlukan mereka daripada Bapa yang di syurga. Dengan memohon daripada Allah, maka mereka akan mendapat apa yang diminta dan diperlukan mereka dalam hidup mereka.
Mencari bererti mereka harus terus berusaha mendapatkannya tanpa berasa jemu sehinggalah mereka memperolehnya atau menemukannya. Berkat ketekunan dan kegigihan untuk mencari, maka mereka akan berhasil dalam segala urusan mereka.
Yakinlah bahawa Dia sebagai Bapa kita yang maha tahu, maha berkuasa dan maha pemurah pasti akan memenuhi apa yang sedang kita cari dalam hidup ini.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon agar Engkau meneguhkan hatiku untuk terus mencari sehingga mendapat segala yang aku perlukan dalam hidup ini tanpa mengenal lelah atau jemu. Ajarlah aku untuk tetap menaruh harapan kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Commenti