top of page

Dahulu Untung Kini Rugi

  • May 27
  • 2 min read

Tetapi segala yang dahulu merupakan untung bagiku, sekarang kukira rugi kerana Kristus.  Filipi 3:7 AVB

 

Rasul Paulus memberitahu saudara saudari dalam Kristus di Filipi tentang hal-hal lahiriah dirinya pada masa lalu. Jika sesiapa menyangka dia ada alasan untuk mengharapkan hal lahiriah, Paulus lebih-lebih lagi. Akan tetapi, kerana apa yang sudah dilakukan oleh Kristus bagi Paulus, semua yang dahulu dianggapnya sebagai menguntungkan, kini dianggapnya sebagai merugikan.

 

Paulus menyenaraikan semua hal lahariah yang dimilikinya pada masa lalu sebelum dia hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Dia disunat ketika berumur lapan hari. Dia dilahirkan sebagai bangsa Israel daripada suku Benyamin. Dia orang Ibrani sejati kerana dia keturunan orang Ibrani. Dalam hal Taurat dia orang Farisi. Selain itu, dia berguru kepada Gamaliel, seorang ahli Taurat yang sangat disegani. Dari segi kesungguhan, dia telah menganiayai jemaah kerana menganggap dia melakukan kehendak Allah. Dari segi perbenaran untuk mentaati Taurat, dia tiada cacat cela.

 

Malangnya, semua hal lahiriah Paulus itu tidak memberi dirinya keuntungan malah kerugian. Pada mulanya Paulus berfikir bahawa dia akan mencapai perbenaran dengan mentaati hukum Taurat. Apatah lagi, dia memang ada alasan kuat untuk mengharapkan hal lahiriah. Setelah dia mengenal Kristus dan membuat penilaian tentang status sosial serta pencapaian keagamaannya, barulah dia sedar bahawa keangkuhannya selama ini salah besar.

 

Menaruh keyakinan kepada hal-hal lahiriahnya itu telah menghalangnya daripada mengenal Yesus dan langsung tidak mendatangkan perbenaran yang diperkenan oleh Allah. Apa yang menguntungkan diri Paulus ialah dia mengenal Yesus secara peribadi sebagai Tuhan dan Penyelamat bagi dirinya. Baru sekarang Paulus tahu bahawa penyelamatan dalam Yesus lebih menguntungkan daripada hal lahiriahnya.

 

Bagaimanakah dengan diri kita? Dengan hidup bersatu dengan Kristus, segala hal lahiriah yang kita banggakan selama ini akan berubah. Sebab dalam Kristus kita akan menerima berkat yang jauh lebih bermakna dan berharga lagi daripada semua hal lahiriah.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, aku datang membawa segala pujian dan syukurku kepada-Mu. Apabila aku mengakui Engkau sebagai Tuhan dan Penyelamatku, aku memperoleh hidup kekal yang terjamin. Dalam-Mu tidak ada apa-apa yang perlu aku takuti atau khuatiri. Dalam nama-Mu yang di atas segala nama aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page