Dalam Kristus Kita Disatukan
- Aug 3
- 2 min read

“Daripada-Nya, seluruh tubuh yang dihubungkan dan dijalin erat oleh setiap sendi dalam kelengkapannya manakala setiap bahagian menjalankan peranan masing-masing, bertumbuh untuk meneguhkan dirinya dalam kasih.”
Efesus 4:16 (AVB)
Paulus menjelaskan kepada jemaat di Efesus bahawa gereja diibaratkan seperti sebuah tubuh yang mempunyai pelbagai anggota. Setiap anggota mempunyai peranan dan fungsi yang berbeza, tetapi semuanya menjadi sebahagian daripada satu tubuh yang sama.
Dalam tubuh manusia, setiap anggota saling memerlukan untuk berfungsi dengan baik. Walaupun tangan, kaki, mata, telinga, dan anggota-anggota lain mempunyai peranan yang berbeza, semuanya saling melengkapi dan bekerja demi kebaikan seluruh tubuh.
Demikian juga dengan gereja. Setiap orang percaya dipersatukan dalam Kristus dan menjadi anggota tubuh-Nya. Kristus ialah sumber kehidupan dan Kepala bagi seluruh tubuh. Daripada-Nya, setiap anggota dihubungkan dan dijalin erat antara satu sama lain.
Setiap anggota tubuh Kristus mempunyai peranan yang perlu dijalankan dengan setia. Ada yang dipanggil untuk mengajar, membimbing, melayani, menguatkan, menolong, memberi, atau melaksanakan tanggungjawab yang lain. Apabila setiap orang menjalankan peranannya dengan baik, seluruh tubuh Kristus akan bertumbuh dan menjadi semakin teguh.
Tidak ada anggota yang terlalu kecil atau tidak penting. Setiap orang mempunyai sumbangan yang diperlukan untuk membina tubuh Kristus. Kita tidak seharusnya membandingkan peranan kita dengan orang lain atau merasakan bahawa kurnia kita tidak berguna.
Di bawah pimpinan Kristus, setiap anggota dipanggil untuk saling menolong, menyokong, dan menguatkan dalam kasih. Kasih merupakan ikatan yang memelihara hubungan serta menolong jemaat bertumbuh dengan sihat.
Oleh itu, marilah kita menjalankan peranan yang telah Tuhan percayakan kepada kita dengan setia dan rendah hati. Gunakanlah kurnia yang diberikan-Nya untuk membina, menguatkan, dan menolong satu sama lain.
Kita mungkin berbeza dari segi peranan, kebolehan, dan latar belakang, tetapi dalam Kristus kita telah disatukan menjadi satu tubuh.
Doa:
Tuhan Yesus, ajarlah aku menggunakan kurnia yang telah Engkau berikan kepadaku untuk membina, menguatkan, dan menolong orang lain. Bantulah aku menjalankan perananku dengan setia dan rendah hati sebagai anggota tubuh Kristus. Satukanlah kami dalam kasih supaya seluruh jemaat-Mu terus bertumbuh dan diteguhkan. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments