top of page

Dalam Nama Tuhan Yesus!


Kolose 3:17 - TB

Dan segala sesuatu yang kamu lakukan dengan perkataan atau perbuatan, lakukanlah semuanya itu dalam nama Tuhan Yesus, sambil mengucap syukur oleh Dia kepada Allah, Bapa kita. 

 

Apakah maksud lakukanlah semuanya itu dalam nama Tuhan Yesus? 

 

Saya memahaminya begini; segala sesuatu yang diciptakan di bumi ini mempunyai ciri semula jadinya. Sebagai contoh, ayam dan itik tidak sama. Itik suka air dan mampu hidup di kawasan berair untuk suatu jangka masa yang lama kerana mempunyai kapasiti berenang dan mampu berada di kawasan air untuk suatu tempoh tertentu. Manakala ayam langsung tidak. Ayam merupakan haiwan yang menjauhi air. 

 

Demikian juga dengan domba dan kambing. Ekor kambing mengarah ke atas, manakala ekor domba menurun ke bawah. Bulu kambing kasar dan panjang, manakala domba halus dan lembut. Tanduk kambing lebih nipis dan melengkung ke luar, manakala tanduk domba lebih tebal dan menggulung ke dalam. Pendek kata, setiap ciptaan mempunyai ciri yang berbeza dan tersendiri sehingga hal tersebutlah yang membezakannya dengan ciptaan yang lainnya. 

 

Demikian juga dengan manusia percaya dan manusia tidak percaya. Walaupun hal ini wujud secara rohani, namun prinsipnya sama. 2 Korintus 5:17 - Jadi siapa yang ada di dalam Kristus, ia adalah ciptaan baru: yang lama sudah berlalu, sesungguhnya yang baru sudah datang. Apabila seseorang menyerahkan hidupnya kepada Tuhan Yesus dan menjadi orang percaya, orang itu dikatakan ada di dalam Kristus dan merupakan ciptaan baru. Jadi, ciri semulajadi bagi manusia yang percaya Kristus ini juga menjadi baru dan tidak sama lagi dengan kehidupan lamanya. Ada perbezaan yang sangat besar dan ketara. 

 

Satu ciri yang jelas bagi orang percaya ialah segala sesuatu yang dilakukannya itu sama ada dari segi perkataan atau perbuatan bukan lagi dilakukan atas namanya (kekuatan keperibadiannya dan pencapaiannya) tapi atas nama Tuhan Yesus (kekuatan keperibadian Yesus Kristus dan hal-hal yang telah dicapai-Nya). Itulah sebabnya Paulus berkata kepada jemaat di Kolose; lakukanlah semuanya itu dalam nama Tuhan Yesus kerana jemaat di Kolose sudah lahir baru dan sepatutnya memaparkan ciri semula jadi yang baru hasil daripada sifat dan pencapaian Yesus Kristus sendiri di kayu salib. Ciri yang lama sudah berlalu, sesungguhnya ciri yang baru sudah datang melalui perkataan dan perbuatan. Semua ini dilakukan bukan dengan paksaan tetapi penuh dengan ucapan syukur kepada Allah Bapa di Syurga. 

 

Ingatlah bahawa semuanya ini hanya dimungkinkan oleh Tuhan Yesus Kristus. Tidak lama lagi kita akan menyambut kelahiran Sang Penyelamat kita yang telah memungkinkan semua hal yang baru dalam hidup kita terjadi. Marilah kita merayakannya dengan penuh ucapan syukur. Semasa perayaan Natal ini berjalan, marilah kita melakukannya dalam nama Tuhan Yesus! Tuhan memberkati!


Pr Roy Dinsim

 

bottom of page