Dalam Yesus Kita Selamat dan Aman
- Komuniti Digital 05

- 2 days ago
- 2 min read

“dan kamu akan dibenci oleh semua kerana nama-Ku. Tetapi sehelai rambutmu pun tidak akan hilang.” Lukas 21:17-18 AVB
Tuhan Yesus memperingatkan setiap orang yang memilih untuk mengikut-Nya supaya mereka tidak perlu takut dan khuatir sewaktu mereka mengalami penderitaan serta penganiayaan. Sebab Dia Tuhan yang hidup dan maha berkuasa akan sentiasa bersama mereka. Oleh itu, mereka hanya perlu bersandar sepenuh pada-Nya untuk pertolongan.
Ya, kita akan dibenci dan dianiayai oleh banyak orang cuma kerana kita mengikut Tuhan Yesus. Akan tetapi, Dia berkata bahawa setiap kita pasti akan selamat. Betapa hati kita terhibur kerana tidak sehelai pun rambut di kepala kita akan hilang. Hal ini bererti bahawa Allah tetap berwibawa dan akan menjaga serta memelihara kita. Alangkah bermaknanya janji yang diperkatakan oleh Tuhan Yesus!
Janganlah kita bergantung pada kekuatan diri kita sendiri tetapi kita harus bergantung sepenuhnya pada kuasa dan pimpinan Allah. Ingatlah bahawa tanpa izin dan kehendak Allah, setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak sekali-kali akan mengalami kecelakaan daripada mereka yang membenci kita.
Pendek kata, berharaplah kepada Allah untuk pertolongan sewaktu kita menempuh tentangan dan penganiayaan. Sudah pasti Allah akan bertindak bagi diri kita sehingga kita selamat tidak kira apa jua keadaan yang kita lalui dalam hidup ini.
Sememangnya, mengikut Yesus tidaklah bererti bahawa kita akan terlepas daripada kebencian dan penganiayaan yang datang daripada orang yang ada di sekeliling kita. Ke mana-mana pun kita pergi, pasti ada sahaja orang yang akan membenci kita semata-mata kerana kita percaya kepada Yesus. Walaupun mereka cuba membunuh tubuh kita, tetapi sekiranya Allah tidak mengizinkan hal itu, pasti kita akan selamat.
Sebagai orang yang percaya kepada Tuhan Yesus, kita akan dibenci oleh dunia ini kerana dunia telah membenci Tuhan Yesus terlebih dahulu. Hadapilah kebencian dan penganiayaan dengan penuh iman, kesetiaan dan keberanian. Tuhan Yesus memberi kita hidup yang kekal. Kita tidak akan binasa. Tiada sesiapa pun dapat merampas kita daripada tangan Tuhan Yesus.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku memohon kekuatan dan bimbingan-Mu apabila aku menghadapi pelbagai keadaan yang sangat sukar dalam hidup ini. Berilah aku iman yang teguh untuk menghadapi segala penganiayaan dan penderitaan. Biarlah aku mengarahkan mataku kepada Yesus, Pelopor dan Penyempurna imanku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments