Dengan Ciuman Yudas Mengkhianati Yesus
- Feb 12
- 1 min read

Yesus berkata kepadanya, “Yudas, adakah dengan ciuman, engkau mengkhianati Anak Manusia?” Lukas 22:48 AVB
Yesus bangun daripada berdoa, dan kembali kepada murid-murid-Nya. Dia mendapati mereka tertidur kerana sangat sedih. Dia berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu tidur? Bangunlah dan berdoa supaya kamu tidak tergoda.” Ketika Yesus masih berkata-kata, sekumpulan orang datang. Yudas, seorang daripada dua belas murid-Nya memimpin mereka. Dia menghampiri Yesus untuk mencium-Nya. Yesus berkata kepadanya, “Yudas, adakah dengan ciuman engkau mengkhianati Anak Manusia?”
Yesus mengajukan pertanyaan kepada Yudas tentang ciuman yang diberikannya untuk mengkhianati Anak Manusia dan menyerahkan Anak Manusia kepada ketua-ketua imam, ketua-ketua pengawal Bait Suci dan tua-tua masyarakat Yahudi. Sebelum Yudas dan rombongannya datang kepada Yesus, pengkhianat itu telah menetapkan satu isyarat dengan mereka, “Yang kucium nanti, itulah Dia. Tangkaplah Dia dan bawalah Dia pergi dengan selamat.”
Memang satu adat kebiasaan pada zaman itu bagi seseorang murid bersalam dengan gurunya dengan satu ciuman kudus (bukan mulut ke mulut) yang penuh kasih dan hormat. Ciuman sedemikian bukanlah satu perbuatan romantis. Sedihnya, ciuman Yudas kepada Yesus merupakan ciuman kelicikan dan pengkhianatan, iaitu Yudas menyerahkan Yesus kepada musuh-musuh-Nya.
Bagaimanakah dengan tanda salam yang kita berikan kepada orang tertentu - tanda salam kasih agape atau sebaliknya? Bebaskanlah diri kita daripada salam licik yang mengkhianati orang lain. Biarlah salam kasih yang bersumberkan kasih Allah meresapi hati kita. Kita juga janganlah tunjukkan taat setia secara luaran sahaja kepada Allah tetapi hendaklah bertaat setia secara ikhlas yang tidak berbelah bahagi kepada Allah.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohonkan hati yang tulus dan bersih agar dalam semua yang aku lakukan, orang di sekelilingku akan melihat kasih dan cahaya-Mu lalu memuliakan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments