Dengan Kuasa Allah, Roh Iblis Dihalau daripada Orang Bisu
- Komuniti Digital 05

- Jul 7
- 1 min read

“Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Allah, maka sesungguhnya kerajaan Allah sudah bertapak dalam kalanganmu.” Lukas 11:20 AVB
Sewaktu Tuhan Yesus mengusir roh iblis daripada seorang yang bisu, orang ramai tercengang. Akan tetapi, terdapat beberapa orang yang curiga tentang mukjizat yang terjadi. Mereka mula bercakap antara satu sama lain dengan menaruh syak terhadap kuasa Yesus sehingga mereka membuat tuduhan bahawa Yesus menghalau roh iblis dengan kuasa yang diberikan oleh Beelzebul, ketua roh iblis.
Golongan lain pula menjadikan mukjizat itu sebagai batu sandung bagi diri mereka. Mereka mahu memerangkap Yesus dengan meminta Yesus melakukan mukjizat bagi membuktikan bahawa Dia sesungguhnya datang daripada Allah.
Demi menyangkal tuduhan mereka bahawa Dia telah mengusir roh iblis yang membelenggu orang bisu itu dengan menggunakan kuasa yang diberikan oleh Beelzebul ketua semua roh iblis, Yesus bertanya kepada mereka, “... jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, maka dengan kuasa siapakah pula pengikut-pengikutmu menghalau roh-roh iblis? Oleh itu, merekalah yang akan menjadi hakimmu. Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Allah, maka sesungguhnya kerajaan Allah sudah bertapak dalam kalanganmu.”
Dengan kata lain, pengusiran roh iblis daripada orang bisu itu membuktikan bahawa Allah sudah pun memerintah di tengah-tengah mereka. Itulah sebabnya orang bisu itu boleh dibebaskan daripada kongkongan roh iblis.
Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Setiap kita yang percaya kepada Yesus dan telah menerima-Nya sebagai Tuhan dan Penyelamat hidup secara peribadi diberi kuasa untuk mengusir roh iblis. Ingatlah baik-baik bahawa kita langsung tidak perlu takut kepada roh iblis kerana “ … roh yang ada padamu lebih berkuasa daripada roh yang ada di dalam dunia ini.” 1 Yohanes 4:4b AVB
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku berterima kasih kepada-Mu kerana Engkau telah memberi sesiapa sahaja yang telah bertaubat dan menerima Tuhan Yesus ke dalam hidup secara peribadi pada hari ini kuasa ke atas semua roh jahat. Sesungguhnya, Engkaulah Pelindungku yang perkasa. Maka aku kuat dan pasti menang. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments