top of page

Di manakah pelita diletakkan?

ree

“Tiada seorang pun yang memasang pelita lalu menyorokkannya di tempat tersembunyi atau di bawah pasu. Sebaliknya, dia meletakkannya di atas kaki pelita supaya orang yang masuk dapat melihat cahayanya.” Lukas 11:33 AVB


Tuhan Yesus berkata kepada murid-murid-Nya bahawa Dia tidak mengajar mereka secara rahsia atau tersembunyi. Sebaliknya, Dia mengajar mereka secara terang-terangan tentang “kebenaran berita baik” agar berita baik mengenai-Nya akan menjadi cahaya bagi hati mereka.


Itulah sebabnya Yesus berkata bahawa manusia tidak akan menyalakan pelita atau lampu lalu menempatkannya di bawah tempayan atau di tempat tersembunyi. Sudah tentulah pelita itu akan diletakkan di atas kaki pelita supaya semua yang masuk dapat melihat cahayanya.


Demikanlah juga “berita baik” harus dikhabarkan kepada semua orang agar mereka yang mendengarnya akan turut mempercayainya dan memperoleh hidup kekal. Sesungguhnya, kebenaran firman yang diajarkan Yesus kepada mereka bagaikan cahaya yang terpancar dari sebuah pelita. Seterusnya, cahaya terang dari pelita yang jelas kelihatan boleh membimbing orang kepada kebenaran berita baik tentang Yesus.


Biarlah kebenaran firman Allah memancarkan cahaya kepada semua orang supaya mereka tertarik kepadanya demi memperoleh hidup. Sebab cahaya itu ialah kebenaran Allah sendiri yang akan membawa hidup kepada semua orang. Namun demikian, terserahlah pada diri kita yang mendengar kebenaran firman Allah sama ada kita sedia menerimanya atau tidak dalam hidup kita.


Oleh itu, marilah kita menghayati kebenaran firman Allah dalam hidup seharian kita agar orang yang ada di sekeliling kita dapat melihat cahaya itu terpancar daripada tutur kata, tingkah laku dan sikap kita sehingga mereka juga mahu menerima kebenaran itu demi mengecapi kasih kurnia danhidup kekal daripada Allah.


Doa:

Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk menaruh kebenaran firman-Mu itu di tempat yang betul dalam hidupku. Biarlah orang yang ada di sekelilingku dapat melihat Engkau dalam hidupku lalu mereka turut mahu mendapat penyelamatan dan hidup kekal. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page