Dia Yang Memulakannya Akan Menyudahkannya
- Apr 2
- 1 min read

Aku yakin bahawa Allah yang telah memulakan suatu pekerjaan yang baik dalam dirimu akan menyudahkannya hingga hari Yesus Kristus. Filipi 1:6 AVB
Rasul Paulus memberitahu kita tentang keyakinannya terhadap pekerjaan baik yang telah dimulakan oleh Allah dalam diri jemaah yang ada di Filipi sejak mereka menaruh kepercayaan kepada Tuhan Yesus Kristus. Dia sangat yakin bahawa Allah akan meneruskan kerja transformasi rohani yang telah dimulakan agar mereka makin hari makin matang dalam hidup rohani mereka.
Oleh yang demikian, Paulus tidak perlu khuatir terhadap apa-apa pun yang akan terjadi kerana apabila Allah memulakan sesuatu pekerjaan yang baik, maka Dia akan menyempurnakannya. Sebab Allah tidak berdusta tentang siapa diri-Nya dan apa yang dilakukan-Nya. Allah setia menunaikan janji-Nya untuk menyudahkan pekerjaan baik itu.
Allah sentiasa akan menggenapi semua yang dijanjikan kepada umat-Nya dengan syarat umat-Nya harus setia dalam hubungan mereka dengan-Nya. Apabila Allah sudah memulakan sesuatu pekerjaan rohani yang indah dalam diri umat-Nya, Dia tentu akan meneruskannya sampai menjadi sempurna pada hari Kristus Yesus datang kembali.
Marilah kita terus setia membina hubungan peribadi kita dengan Allah sebaik-baiknya. Biarkan Dia melaksanakan pekerjaan dan kehendak-Nya dalam hidup kita. Janganlah kita khuatir dan ragu-ragu tetapi percayalah dan yakinlah kepada-Nya dengan sepenuh hati kita. Ingatlah bahawa Allah sama sekali tidak akan meninggalkan kita tetapi akan menolong kita untuk menyudahkan perjalanan rohani kita dengan baik.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, terima kasih atas anugerah penyelamatan yang sangat besar kepadaku. Terima kasih juga kerana memulakan suatu pekerjaan yang baik dalam diriku. Ajarlah aku untuk tetap yakin kepada-Mu dan berserah kepada-Mu demi mentaati kehendak-Mu dalam hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments