top of page

Diangkat Sebagai Anak-Nya

  • 1 hour ago
  • 2 min read

 

Dalam kasih, Dia (Allah) telah menentukan kita dari mulanya untuk diangkat sebagai anak oleh Yesus Kristus kepada diri-Nya, menurut keredaan dan kehendak-Nya —  Efesus 1:4b-5 AVB

 

Allah bukan sahaja telah memilih setiap kita orang percaya dalam Kristus sebelum dunia ini dijadikan, supaya kita suci dan tidak bercela di hadapan-Nya. Demikian juga Dia sudah menentukan terlebih dahulu untuk mengangkat orang percaya menjadi anak-anak-Nya menurut keredaan dan kehendak-Nya.

 

Penyelamatan kita bukan perbuatan mendadak Allah secara tiba-tiba apabila kita membuat keputusan untuk percaya kepada Yesus. Sebaliknya, dalam kasih-Nya kita telah ditentukan oleh-Nya sejak mulanya. Dia telah merancangkan untuk mengangkat kita menjadi anak-anak-Nya dengan mengutus Yesus Kristus untuk mati di kayu salib bagi dosa kita.

 

Apakah yang di maksudkan dengan “diangkat sebagai anak-Nya” atau “menjadi anak-Nya”? Pada zaman Roma status seorang anak angkat berubah kerana dia boleh menikmati hak, keistimewaan dan warisan seperti anak kandung. Jadi, “diangkat sebagai anak Allah” bererti Allah bukan sahaja menyelamatkannya daripada hukuman dosa, tetapi menjadikannya sebagai anggota dan waris keluarga-Nya. Seseorang itu hanya boleh menjadi anak Allah disebabkan siapa Yesus dan apa yang dilakukan-Nya di atas kayu salib.

 

Betapa pentingnya kita faham bahawa Allah memberikan hak menjadi anak-Nya kepada kita yang menerima dan mempercayai Tuhan Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat hidup kita secara peribadi. Sebab kelahiran kita dalam keluarga Allah bukan melalui darah keturunan, atau kehendak manusia, atau kemahuan seorang lelaki, tetapi kerana perbuatan Allah (Yohanes 1:12-13).

 

Menjadi anak Allah adalah atas keredaan dan kehendak Allah dan bukan kerana apa-apa yang kita buat atau capai atau kerana kita layak. Biarlah kebenaran ini membuat kita datang kepada-Allah Bapa dengan penuh kerendahan hati, kesyukuran dan puji-pujian. Alangkah besarnya kasih dan kasih kurnia-Nya terhadap kita!

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, terima kasih atas kasih kurnia dan anugerah-Mu yang menjadikan aku sebagai anak-Mu. Pakailah hidupku untuk kemuliaan-Mu. Ajarlah aku untuk hidup akrab dengan-Mu dan taat setia kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page