Diberkatilah Hamba Yang Menjalankan Tugas Dengan Baik
- Komuniti Digital 05
- Aug 16
- 1 min read

“Diberkatilah hamba itu jika dia didapati menjalankan tugas pada waktu tuannya kembali.” Lukas 12:43 AVB
Petrus bertanya kepada Tuhan Yesus tentang ibarat hamba yang setia dan hamba yang derhaka, “Tuhan, adakah Engkau beritahu ibarat ini kepada kami atau kepada semua orang?” Dengan kata lain, adakah Yesus menujukan ibarat itu kepada mereka sahaja (murid-murid-Nya) atau kepada semua orang yang datang mendengar dan menerima ajaran daripada-Nya?
Yesus pun menjawab kepadanya, “Siapakah hamba yang setia dan bijaksana? Dialah yang diamanahkan oleh tuannya untuk mengurus rumah tangganya dan memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktunya.” Hamba yang setia dan bijak itu merujuk kepada semua pengikut-Nya yang diberi tugas atau tanggungjawab tertentu yang perlu dilaksanakan manakala tuan itu merujuk kepada diri-Nya.
Yesus juga memberitahu Petrus bahawa Dialah Tuan yang mengangkat dan mempercayakan para pengikut-Nya dengan tugas-tugas khusus, seperti memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktu Dia tidak bersama-sama dengan mereka. Dengan itu, mereka perlu terus-menerus menjalankan semua tugas mereka dengan baik dan amanah.
Sekiranya seorang hamba didapati tetap melakukan tugasnya dengan baik oleh tuannya sewaktu dia pulang secara tiba-tiba, sudah tentu tuan itu akan sangat senang dan gembira dengan hambanya yang taat setia. Tuan hamba itu pasti akan memberkati dan mengganjarinya.
Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Adakah kita masih tetap setia melakukan tugas-tugas yang telah diamanahkan kepada kita dengan penuh tanggungjawab? Sebab setiap tugas yang kita lakukan untuk Tuhan pasti berbaloi dan tidak akan sia-sia.
Kesimpulannya, selagi kita diberi kesempatan, marilah terus melayani dan bekerja bagi Tuhan Yesus sehingga akhir hidup kita…
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, berilah aku hati yang sentiasa bernyala-nyala untuk melayani Engkau selama aku hidup. Walaupun berbagai-bagai cabaran harus aku lalui, namun aku mahu tetap taat setia bekerja bagi-Mu. Inilah aku, pakailah aku demi kemuliaan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments