top of page

Diberkatilah Orang Yang Dijamu Dalam Kerajaan Allah

ree

Salah seorang jemputan itu mendengar kata-kata Yesus lalu berkata, “Diberkatilah orang yang akan dijamu dalam kerajaan Allah.” Lukas 14:15 AVB


Ketika salah seorang tetamu yang duduk makan bersama-sama dengan Tuhan Yesus mendengar kata-kata-Nya, dia pun berkata kepada Yesus, “Diberkatilah orang yang akan dijamu dalam kerajaan Allah.”  Bagi tetamu itu, untung sekali orang yang akan makan bersama dengan Allah apabila Dia datang sebagai Raja kelak!


Sesungguhnya,betapalah diberkati seseorang yang diundang ke jamuan besar yang diadakan  dalam kerajaan Allah. Mereka diundang bukan berdasarkan perbuatan baik atau penyangkalan diri ataupun ketaatan mereka dalam ajaran agama tetapi mereka diundang semata-mata kerana mereka percaya kepada Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka.


Oleh itu, undangan ke jamuan besar yang diadakan dalam kerajaan Allah merupakan suatu anugerah dan hak istimewa atau sebagai sesuatu yang tidak ternilai. Jamuan besar ini disediakan oleh Allah demi penyelamatan dan nikmat mereka dalam kerajaan-Nya. Itulah sebabnya mereka mengakui bahawa hidup di dunia ini bukanlah segala-galanya bagi diri mereka tetapi mereka mencari kepuasan yang sebenar dalam Tuhan Yesus. 


Selain itu, Yesus ingin memperingatkan kita melalui ibarat ini bahawa bukan semua orang yang diundang oleh Allah akan dapat menikmati jamuan besar yang disediakan-Nya.Sekiranya mereka yang diundang oleh-Nya tidak siap sedia meninggalkan hal-hal duniawi untuk menghadiri jamuan yang disediakan oleh Allah, mereka akan terlepas dan tertinggal.


Tegasnya, hanya mereka yang sungguh-sungguh siap sedia untuk meninggalkan segala hal duniawi  dapat menikmati jamuan besar yang disediakan oleh Allah. Sebab jemputan mestilah datang bersama-sama-Nya ke jamuan yang tidak akan ditunda-tunda. Keputusan untuk datang ke jamuan besar mesti diambil dengan segeara tanpa berlengah-lengah. 


Marilah kita memberikan respons yang sewajarnya kepada undangan jamuan besar tanpa berdalih atau sengaja beralasan. Biarlah kita bersiap sedia untuk menghadiri  jamuan besar itu dengan penuh sukacita dan pengharapan.


Doa: 

Ya Bapa yang di syurga, terima kasih atas undangan-Mu kepadaku untuk makan dalam  jamuan besar yang Engkau sediakan. Bebaskan hatiku daripada segala hal yang menjadi penghalang dalam hidupku untuk menghadiri  jamuan besar-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page