top of page

Diperbaharui Melalui Kerendahan Hati


Bacaan Alkitab: Amsal 16-25


Kesombongan mendahului kehancuran, tetapi kerendahan hati mendahului kehormatan.

(Amsal 18:12)


Rendahkan dirimu di hadapan Tuhan, maka Dia akan meninggikanmu.

(Yakobus 4:10)


Dua orang membaca Alkitab - seorang tetap sama; yang seorang lagi diubah. Dua orang duduk mendengar khutbah pengkhutbah yang sama - seorang tidak terpengaruh dan bosan; yang seorang lagi menerimanya dengan gembira dan patuh. Satu diperbaharui; yang satu lagi tidak. Ramai orang membaca kitab Amsal, tetapi tidak semuanya menjadi bijak. Persoalannya ialah: Apakah yang membezakan antara satu sama lain?


Kitab Amsal memberi kita petunjuk. Ia menunjukkan kepada kita bahawa kunci untuk diperbaharui sebenarnya terdapat pada sikap hati kita. Ia membawa tema kerendahan hati dan boleh diajar sepanjang masa, pada masa yang sama mengutuk kesombongan dan kebanggaan. Hati yang sombong tidak akan belajar apa-apa dan tidak dapat belajar apa-apa - ia membawa kepada kemusnahan (Ams. 16:18). Sebaliknya, hati yang rendah ialah hati yang tunduk kepada Tuhan dengan menerima dan mematuhi Firman-Nya sebagai kuasa mutlak dalam kehidupan seseorang.


Adakah kita sudah sampai ke tempat itu? Atau adakah pendirian kita tidak tetap, teragak-agak dalam melakukan sesuatu? Kebijaksanaan dan kuasa Tuhan dinyatakan melalui salib Kristus (1 Kor. 1:18-25). Kita tahu bahawa kemenangan terbesar adalah apabila Kristus, tunduk kepada kehendak Bapa, merendahkan diri sehingga menghadapi kematian. Semoga kita, gereja di Malaysia, diperbaharui dalam kerendahan hati dan, dengan berbuat demikian, mendapat kemenangan sejati kita dalam kuasa salib.


Doa:

Tuhan Yesus, Engkau mengangkat orang yang rendah hati dan merendahkan orang yang sombong. Tanamkanlah dalam diri saya semangat rendah hati supaya saya dapat menerima kehidupan dan kehormatan. Tolonglah saya mengatasi kesombongan saya supaya tidak membawa kemusnahan kepada saya. Amin.


Pr Lee Yew Meng, NECF





Comments


bottom of page