Dipersembahkan Sebagai Korban
- 2 hours ago
- 2 min read

Walaupun sekiranya aku dicurahkan seperti minuman yang dipersembahkan sebagai korban dan khidmat imanmu, aku berbahagia dan bersukacita bersama kamu semua. Filipi 2:17 AVB
Rasul Paulus memberitahu saudara saudari dalam Kristus di Filipi bahawa hidupnya seperti minuman yang dipersembahkan sebagai korban demi iman mereka. Mereka semua telah percaya sepenuh jiwa raga kepada Allah dan membuktikan iman mereka dengan berkorban untuk melayani-Nya.
Jadi sekalipun dia Paulus harus mencurahkan darahnya sendiri bersama korban mereka dengan erti kata kalau dia dibunuh kerana terus berjuang mempertahankan keyakinan mereka tentang Kristus, dia tetap bersyukur dan bersukacita. Dengan kata lain, Paulus langsung tidak gentar untuk mati tetapi menganggap pengorbanannya sebagai ibadat muktamad kepada Allah.
Itulah sebabnya Paulus tetap gembira sungguhpun dia akan dibunuh kerana terus berjuang demi Injil Yesus Kristus. Bagi Paulus, darahnya menjadi seperti persembahan yang dicurahkan di atas korban yang dipersembahkan saudara saudari dalam Kristus di Filipi kepada Allah, sebagai tanda bahawa mereka percaya kepada-Nya. Selama ini saudara saudari dalam Kristus di Filipi sanggup berkorban apa-apa sahaja sebagai rakan sepelayanan dengan Paulus.
Mengikut Yesus memerlukan pembayaran dengan harga yang amat besar. Yesus sendiri telah membayar harga yang tidak terkira di atas kayu salib agar kita diselamatkan daripada hukuman dosa. Dia telah menyerahkan diri-Nya semata-mata untuk penyelamatan kita. Dalam Yesus kita mendapat penebusan yang kekal melalui darah-Nya, pengampunan dosa menurut limpah kasih kurnia-Nya.
Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Melayani Allah menuntut pengorbanan dari segi masa, tenaga dan harta bagi pekerjaan-Nya. Tanpa iman yang sungguh-sungguh dalam Allah, mustahillah untuk kita berkorban. Bagaimanapun, biarlah pengorbanan itu satu persembahan yang penuh sukacita dan kesyukuran kepada Allah.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku bersyukur kerana Engkau telah mengampunkan semua dosaku dan menerima aku seadanya. Aku datang menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Teguhkan imanku untuk melayani-Mu sekalipun aku mungkin perlu berkorban dalam banyak perkara. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments