Diri Kita Adalah Bait Roh Allah
- 19 hours ago
- 1 min read

“…maka dalam-Nya kamu pun dibina bersama menjadi tempat kediaman Allah dalam Roh.”Efesus 2:22 (AVB)
Paulus berkata kepada jemaat di Efesus bahawa sekarang mereka telah didamaikan oleh Kristus. Dengan itu, mereka tidak lagi dianggap sebagai orang asing, tetapi sebagai sesama warga umat Allah dan anggota keluarga Allah yang hidup di bawah pimpinan serta hukum-hukum Allah. Mereka sekarang ialah anggota keluarga Allah yang telah didamaikan oleh Kristus.
Sebagai anggota keluarga Allah, hubungan mereka dengan sesama orang percaya diungkapkan sebagai saudara seiman. Selanjutnya, umat yang telah didamaikan oleh Kristus ini sekarang dibina bersama menjadi tempat kediaman Allah dalam Roh.
Paulus memberitahu jemaat di Efesus bahawa kerana mereka sudah hidup bersatu dengan Kristus, maka mereka sekarang dibina bersama-sama dengan semua orang percaya yang lain menjadi tempat kediaman Allah dalam Roh-Nya.
Hal ini membawa maksud bahawa setiap orang yang sudah bersatu dengan Kristus Yesus menjadi sebahagian daripada bait Roh Allah, iaitu tempat kediaman-Nya. Oleh itu, marilah kita menjaga hidup kita supaya tetap suci setiap hari, sebab diri kita adalah bait Roh Allah.
Doa: Tuhan Yesus, inilah diri aku. Pakailah dan gunakanlah hidup aku sebagai alat-Mu untuk memuliakan nama-Mu dan membawa orang yang ada di sekeliling aku untuk mengenal serta menerima diri-Mu. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments