Kitab Suci: Ibrani 4:13–16
Ayat-ayat ini mengingatkan kita bahawa tidak ada yang tersembunyi di hadapan Tuhan. Fikiran, perasaan, dan tindakan kita terdedah di hadapan-Nya. Ini adalah panggilan untuk hidup dalam ketaatan dan kejujuran, mengakui bahawa segala sesuatu telanjang di hadapan-Nya.
Namun, kita seringkali tidak menyedari bahawa keMahaTahuan Tuhan seharusnya memberi kesan kepada tingkah laku seharian kita. Kita harus sedar bahawa Yesus, Imam Besar kita, tidak hanya berada di syurga, tetapi Ia juga memahami kelemahan dan pencubaan yang kita sentiasa hadapi di dunia. Dia telah mengalami dunia seperti yang kita alami (lihat ayat 15). Maka, berpegang teguhlah kepada imanmu dalam Imam Besar kita Yesus Kristus. Dia akan mengampuni kita, Dia ada untuk memberikan penghiburan dan kepastian.
Pengakuan iman kita adalah satu cabaran untuk tidak mengubah atau mengurangkan kebenaran iman kita. Ia adalah dasar yang kukuh untuk kehidupan kita, membimbing kita dalam ketaatan kepada Tuhan (ayat 14).
Mendekatlah kepada takhta kasih karunia-Nya. Kita diajak untuk mendekati takhta kasih karunia dengan keberanian. Keberanian yang dimaksudkan ayat ini adalah sinonim dengan iman kerana orang yang beriman pasti ada keberanian. Kita dapat melihat dalam keseluruhan bab 11 kitab Ibrani bagaimana pahlawan iman menghadapi situasi yang sukar dan seakan-akan mustahil untuk diselesaikan tetapi dengan iman mereka dapat menghadapinya dan menang. Kamu dan saya juga pasti dapat melakukan perkara yang sama, iaitu dengan iman. Hampirilah takhta kasih karunia-Nya dengan iman sebab di sana Imam Besar Agung kita telah bertakhta, daripada siapa kita menerima belas kasihan untuk membimbing perjalanan iman kita yang tidak tergoncangkan (lihat ayat 16).
Doa:
Tuhan Yesus, ajarilah kami untuk hidup dengan benar di hadapan Engkau, Sang Imam Besar dalam hidup kami. Kami berdoa biarlah Roh Kudus menguatkan iman kami agar kami tetap setia ketika kami menghampiri takhta Tuhan dengan pertaubatan. Biarlah belas kasihan-Mu mengalir berkelimpahan ketika kami mencari perlindungan dalam-Mu. Amin.
Berdoa agar kerajaan cekap dalam membantu meminimumkan kos transformasi dan penerimaan, terutamanya dalam sektor pendidikan, seiring dengan inisiatif Digital Malaysia yang terus memacu pendigitalan merentas semua sektor kehidupan.
Berdoa agar gereja di Malaysia memaksimumkan penggunaan teknologi untuk membantu kita menyampaikan Injil dengan berkesan dalam era digital.
Rev Rion Anjangkal
Comments