top of page

DOA PUASA KEBANGSAAN Hari 11 : Ajaran Tentang Puasa

  • 3 hours ago
  • 2 min read

Bacaan Alkitab: Matius 6:16-18

“Apabila kamu berpuasa, jangan tunjukkan muka lesu seperti orang munafik. Mereka memperlihatkan wajah menderita supaya semua orang tahu mereka berpuasa. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, mereka itu sudah mendapat ganjaran mereka. Ketika berpuasa, minyakilah kepalamu dan basuhlah muka supaya orang tidak tahu kamu berpuasa. Biarlah puasamu hanya diketahui oleh bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Bapamu Melihat perbuatanmu yang tersembunyi itu dan memberikan ganjaran kepadamu.”


Allah tidak pernah menuntut atau memerintahkan orang-orang Kristian untuk berpuasa, tetapi pada waktu yang sama, alkitab memperkenalkan puasa sebagai sesuatu yang baik, berguna dan perlu dilakukan. Doa dan puasa sering dihubungkaitkan di dalam alkitab. Sebagai contoh dalam kitab Kisah Para Rasul, orang-orang percaya berpuasa dan berdoa sebelum mereka mengambil keputusan - keputusan penting (kis 14:23), dan di dalam injil Lukas 2:37 yang berbicara tentang Hana yang setia berdoa dan berpuasa. Secara umumnya apabila menyebut tentang puasa/fasting, secara spontan orang akan berfikir bahawa itu adalah tentang makanan. Berpuasa ertinya, tidak makan. Itulah yang menjadi pemahaman orang tentang berpuasa.


Sebenarnya, tujuan utama dari puasa orang-orang Kristian ialah untuk melepaskan kita dari hal-hal duniawi dan memusatkan perhatian kita kepada Tuhan. Puasa adalah bentuk demonstrasi kita di hadapan Tuhan dan kepada diri sendiri bahawa kita benar-benar serius dalam hubungan kita dengan Allah, Bapa kita di syurga. Ketika kita berpuasa, itu akan menolong kita untuk memperolehi perspektif atau cara pandang baru terhadap pekerjaan Allah dalam hidup kita dan memperbaharui kebergantungan kita kepada Allah.


Sekalipun puasa di dalam alkitab itu selalu dihubungkaitkan dengan makanan, ada cara lain untuk berpuasa kerana apapun yang dapat anda tinggalkan untuk sementara waktu demi untuk memusatkan perhatian anda kepada Allah, itu boleh dianggap sebagai puasa.Puasa makanan tidak seharusnya diwajibkan kepada semua orang Kristian, apalagi bagi golongan yang mempunyai masalah kesihatan. Jika tidak makan mendatangkan masalah kesihatan, janganlah memaksa untuk melakukan puasa makanan. Puasa bukan untuk menghukum tubuh anda, tetapi adalah untuk memusatkan perhatian kepada Bapa di syurga dalam doa. Jangan juga menjadikan puasa sebagai method atau cara untuk diet, walaupun itu tidak juga salah untuk dilakukan. Jangan jadikan puasa sebagai cara untuk menurunkan berat badan, tetapi berpuasalah untuk memperolehi persekutuan yang lebih intim dengan Allah.


Berpuasa, yang adalah bentuk tindakan dari pihak manusia, tidak akan sesekalipun puasa dapat mengubah segala keputusan dan rencana Allah di dalam ke-Daulatan- Nya. Puasa bukanlah cara untuk membuat Tuhan melakukan apa yang kita ingini, sebaliknya puasa mengubah kita. Berpuasa bukanlah cara untuk kelihatan lebih rohani daripada orang lain, seperti apa yang dikatakan dalam Firman Tuhan di atas yang merujuk kepada orang-orang farisi dan ahli-ahli taurat. Puasa haruslah dilakukan dalam kerendahan hati dan penuh dengan kesyukuran kepada Allah kita yang mengasihi kita.


Fokus Doa

Doa untuk perdamaian dan keamanan Negara Malaysia

1.Keamanan dan perdamaian diantara semua rakyat Malaysia tetap terpelihara

2.Doakan anggota-anggota keselamatan negara supaya sentiasa dilindungi Tuhan

ketika menjalankan tugas mereka.

3.Doakan supaya niat kuasa luar yang cuba untuk menceroboh dan menggangu

keamanan Malaysia dipatahkan.

4.Berdoa supaya Roh kasih dan pengampunan menguasai hati rakyat Malaysia

supaya setiap konflik di tahap apapun, dapat diselesaikan dengan baik.

5.Berdoa supaya orang-orang percaya menunjukkan teladan bagaimana hidup

dalam damai dan memelihara keamanan sesama rakyat Malaysia.

Comments


bottom of page